Jamin PRU telus dengan jemput pemantau bebas, kata Muhyiddin

 |Feb 2, 2018

 

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Foto fail MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan menjemput pemantau bebas dari Sekretariat Komanwel dan PBB untuk memantau perjalanan pilihan raya umum ke-14 jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak benar-benar ingin memberi jaminan pilihan raya nanti akan berlangsung dengan bersih dan adil.

Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keengganan berbuat demikian bererti kenyataan perdana menteri kelmarin hanyalah berupa penafian semata-mata.

“PH mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa PRU14 akan menjadi pilihanraya yang terkotor dalam sejarah Malaysia. Tatkala gelombang kebangkitan rakyat menolak Najib dan Barisan Nasional (BN) semakin ketara, jentera BN juga sedang giat merancang pelbagai penipuan untuk mempertahankan kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, Najib memberi jaminan peluang untuk mana-mana pihak melakukan penipuan dalam PRU14 tidak boleh dilakukan kerana sistem pilihan raya sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keyakinan pengundi.

Beliau berkata demikian selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pimpinan gabungan lain bermesyuarat selama 2 jam dengan delegasi Kesatuan Eropah. Dalam pertemuan itu, PH dilaporkan meminta EU menggesa Najib mengundang pemantau bebas untuk memantau PRU14.

Najib membidas PH kerana cuba menimbulkan kontroversi dan keraguan pada sistem pilihan raya negara.

Persempadanan menguntungkan BN

Muhyiddin seterusnya menimbulkan beberapa perkara yang mendorong PH untuk mencurigai PRU14 nanti.

Antaranya ialah isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikatakan akan memberi kelebihan kepada BN. Proses persempadanan itu sedang dalam proses akhir untuk mendapatkan kelulusan Parlimen.

Bekas timbalan presiden Umno itu mendakwa pengundi dari daerah yang dimenangi BN pada PRU13 akan dipindahkan ke kawasan BN dengan majoriti tipis, bagi menambah majoriti undi kawasan-kawasan itu.

“Pada masa yang sama, daerah-daerah mengundi yang dimenangi oleh pembangkang dalam PRU13 dipindahkan keluar dari kawasan DUN atau Parlimen yang dimenangi secara tipis oleh pembangkang, dengan tujuan untuk mengurangkan undi pembangkang dalam kawasan tersebut dan seterusnya memenangkan BN dalam PRU14,” katanya.

Muhyiddin juga mendakwa terdapat ribuan nama dalam daftar pemilih yang meragukan dan tidak mempunyai alamat lengkap.

“Ini menimbulkan keraguan tentang siapakah identiti mereka? Adakah mereka benar-benar pemilih yang layak atau tidak?,” katanya.

Beliau juga berkata tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihanraya Malaysia, kategori pengundi pos ditambah dengan merangkumi kakitangan kerajaan yang sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengundi sebagai pengundi biasa.

“Jika sekalipun kerajaan berhasrat untuk memberikan kelonggaran kepada mereka untuk mengundi tanpa menjejaskan tugas rasmi, maka tidak sepatutnya menjadi masalah kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari mengundi sebagai hari cuti umum.

“PH juga telah dapat mengesan sejumlah anggota tentera dipindahkan ke kem-kem tentera yang belum siap dibina di beberapa kawasan pilihanraya yang dimenangi secara tipis oleh BN dalam PRU13. Dengan pemindahan ini, anggota-anggota tentera ini layak mengundi sebagai pengudi pos di kawasan Parlimen dan DUN di mana mereka ditempatkan.

“Dengan proses undian pos yang tidak telus serta terdedah kepada penipuan, PH mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa BN akan menggunakan proses undian pos untuk menipu dalam PRU-14,” kata Muhyiddin.

Penggal kerajaan sekarang akan berakhir pada Jun 2018 dan pilihan raya perlu dipanggil sebelum itu atau Parlimen akan terbubar secara automatik dan membuka laluan kepada pilihan raya pada Ogos. -FMT