Direman 4 hari atas 4 kes: Farid Kamil alami tekanan

 |Jan 12, 2018

 

 

Pelakon, Datuk Farid Kamil dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan tempoh reman hari ini: Foto: Facebook Kemalangan Extreme Kebakaran, Banjir Dalam & Luar negara.

PETALING JAYA: Tular di media sosial semalam apabila dilaporkan seorang lelaki yang baru sahaja menerima gelaran Datuk ditahan kerana menampar anggota polis.

Tidak sampai beberapa minit, nama pelaku tersebut didedahkan dan gambarnya menjadi ‘bualan’ di laman sosial.

Individu berkenaan yang dikenali sebagai pelakon iaitu Datuk Farid Kamil ditahan polis susulan tindakannya itu dan hari ini Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 37 tahun itu menampar anggota polis yang bertugas di kaunter Balai Trafik Kota Damansara kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Selain menampar polis dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek kemudian menunjukkan mesej aplikasi whatsapp 300 artis hutang ah long,” katanya.

Lelaki berkenaan kemudian menampar anggota polis dan menendang dua orang awam yang berada di lokasi kejadian tanpa provokasi.

Susulan itu, Farid Kamil yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis pada 10.07 pagi sebelum diiiringi anggota polis ke kamar Mahkamah Majistret pada 10.35 pagi untuk prosiding reman berkenaan.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon tersebut bagi siasatan bawah empat seksyen berlainan bagi tiga akta.

Pelakon popular itu disiasat bawah Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

Dua seksyen Kanun Keseksaaan itu berhubung kesalahan menyebabkan kecederaan dan menggunakan kekuatan untuk menghalang tugas penjawat awam.

Selain kesalahan menggunakan dadah jenis ganja, Farid, 37, juga disiasat bagi tindakan tidak senonoh di balai polis.

Harian Metro melaporkan, Fadzil Bahari Zahari, 34, adik kepada Farid menafikan abangnya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan abangnya mengambil ganja bagi menenangkan fikiran lantaran tekanan perasaan dihadapinya.

“Ketika bertemu dia (Farid Kamil) beritahu saya bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun saya tidak sangka dia bertindak sedemikian.

“Dia mungkin mengalami tekanan perasaan dan masalah mental. Kami sekeluarga akan memberi sokongan mental terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

SHARE