Tun Mahathir tidak buat permohonan rasmi kata KP Penjara

 |Jan 11, 2018

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawat Ketua Umum Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, semalam.

Menurutnya, Tun Mahathir seharusnya membuat permohonan terlebih dahulu sebelum melawat Anwar kerana ianya termaktub di dalam peraturan-peraturan penjara.

“Kalau Tun Mahathir ada membuat permohonan, kami akan mempertimbangkan permohonannya tetapi, belum pasti sama ada kami meluluskan permohonan itu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Beliau menafikan keputusan tidak membenarkan Tun Mahathir membuat lawatan tersebut bukannya atas arahan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya keputusan itu dibuat sendiri oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Menurutnya, keputusan tersebut datang dari Penjara Sungai Buloh bagi mengelak sebarang kontroversi.

Katanya, keputusan tersebut adalah dalam bidang kuasa pegawai yang bertanggungjawab dan ada kebimbangan pada pihak penjara sekiranya dibenarkan perjumpaan tersebut akan menimbulkan kontroversi.

“Kita juga bimbang keselamatan dan ancaman yang dihadapi. Ada kebimbangan isu ini juga akan jadi tular,” katanya.

Semalam petang, Tun Mahathir meluahkan rasa kecewanya selepas dihalang untuk berjumpa Anwar bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri Pakatan Harapan.