Salleh Said ingatkan Mahathir patuhi undang-undang bila nak lawat Anwar

 |Jan 11, 2018

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai prosedur yang perlu dipatuhi jika ingin melawat mereka yang dikenakan hukuman penjara.

Beliau merujuk kunjungan Mahathir ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur petang semalam untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihalang pegawai Jabatan Penjara Malaysia.

Salleh berkata, Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sepatutnya menjadi orang pertama untuk menunjukkan tauladan yang baik dengan tidak menyalahgunakan kuasanya atau melanggar undang-undang.

“Jika tidak, beliau hanya akan mengajar rakyat Malaysia bahawa jika anda adalah ‘seseorang’ maka anda tidak perlu mengikut undang-undang,” katanya.

Jelasnya, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya tahu tiada sesiapa yang boleh sewenang-wenangnya berjumpa dengan banduan.

“Isteri banduan pun tidak dapat melawat suaminya di penjara jika tidak mengikut prosedur yang betul. Isteri dan peguam banduan perlu terlebih dahulu memohon kelulusan daripada pihak penjara sebelum mereka dibenarkan melawat tahanan pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Tidak ada lawatan “ad hoc” atau lawatan mengejut, malah lawatan yang diluluskan juga tidak boleh melebihi masa yang ditetapkan serta jumlah jam dibenarkan dalam tempoh seminggu,” katanya menerusi perkongsian di lamam blognya.

Bendahari Umno itu turut mempersoalkan tindakan Mahathir kerana bekas perdana menteri itu tidak pernah melawat Anwar sepanjang ketua umum PKR itu menjalani hukuman penjara.

“Adalah kelihatan pelik Dr Mahathir tidak mempunyai sebarang minat untuk melawat Anwar semasa dipenjarakan sebelum ini.

“Anwar dipenjarakan dari 1998 sehingga 2004 dan dari tahun 2015 sehingga sekarang, tetapi Dr Mahathir tidak pernah mahu melawat Anwar di penjara.

“Pada tahun 1998, Anwar telah dimasukkan ke hospital kerana ‘mata lebam’ dan Dr Mahathir tidak memperlihatkan sebarang kebimbangan mahupun mahu melawatnya.

“Bagaimanapun, sejak Dr Mahathir memerlukan Anwar untuk menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak Pakatan Harapan, tiba-tiba sahaja beliau begitu teruja untuk melawat Anwar di penjara,” katanya.

Petang semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) itu dilaporkan dihalang Jabatan Penjara Malaysia selepas mahu bertemu Anwar untuk berterima kasih secara peribadi kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Anwar sedang menjalani rawatan pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras selepas pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur pada November.

Jabatan Penjara dilaporkan berkata Anwar akan tamat menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 10 Jun ini, dan akan dibebaskan pada hari bekerja, 8 Jun, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.