Dua remaja tunggang basikal lajak maut dirempuh kereta

 |Jan 11, 2018
Foto: Viral Media Johor

PONTIAN: Dua penunggang basikal lajak maut manakala seorang cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Ibnu Ahmad Ahmad Nais, 16, bersama rakannya yang belum dikenal pasti identitinya maut dilokasi kejadian manakala seorang lagi rakannya cedera patah bahu.

Berita Harian melaporkan, seorang saksi kejadian, Fazli Hashim, 36, berkata, mangsa dipercayai baru pulang daripada perjumpaan kompang di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurutnya, dia berada di warung berhampiran lokasi kejadian terkejut bunyi dentuman dan apabila menoleh, saya nampak sebuah basikal melambung tinggi.

“Saya berlari ke tempat kejadian dan awalnya nampak seorang remaja berdiri dan tidak cedera. Seorang penduduk menyuluh lampu ke parit berhampiran lalu ternampak seorang daripada mereka tertiarap dengan kepala berdarah.

“Seorang lagi remaja ditemui dalam parit agak jauh (tercampak) dari lokasi kejadian. Penduduk segera menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian,”
katanya.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang memandu kereta Toyota Altis tidak
mengalami kecederaan.

Ini adalah kejadian kedua dilaporkan membabitkan basikal lajak. Pada 18 Februari tahun lalu, lapan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun maut, manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor.

Jalan Lingkaran Dalam sebelum ini dilaporkan menjadi lokasi utama bagi penggemar aktiviti berbasikal lajak sekitar bandaraya ini sejak lebih 15 tahun lalu.

Lokasi itu kebiasaannya disebut sebagai Hyatt oleh penunggang basikal lajak yang mengambil nama sempena sebuah hotel yang pernah beroperasi berhampiran kawasan itu sebelum ini.

SHARE