Pejabat PM: Adik-beradik dan kenalan Najib bayar sendiri untuk melawat Saudi

 |Jan 10, 2018

KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan menegaskan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi bermula semalam hingga 12 Januari ini adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Lawatan tersebut bagi membincangkan isu-isu dua hala yang telah dipersetujui kedua-dua negara semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada tahun lalu.

Rombongan Perdana Menteri turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir, isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor, ibunya, Tun Rahah, beberapa ahli keluarga, kenalan dan pegawainya.

Menerusi kenyataan tersebut memaklumkan, adik beradik dan kenalan Perdana Menteri yang mengikuti rombongan ke Arab Saudi menggunakan perbelanjaan sendiri untuk menunaikan ibadah umrah.

“Adalah menjadi hasrat Datuk Seri Najib Razak untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja itu.

“Perdana Menteri telah mengajak ahli keluarga beliau dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersamanya dalam mengerjakan ibadah umrah.

“Adik-adik Perdana Menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat perbelanjaan sendiri ke Tanah Suci,” katanya.

“Hanya ibunya, Tun Rahah Mohamad Noah turut bersama Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi.

“Nama-nama mereka ini telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah,” katanya kenyataan yang sama.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf tetamu negara oleh Kerajaan Arab Saudi dan kos pengangkutan dan penginapan ditanggung oleh kerajaan negara berkenaan.

Makluman PMO itu ada kaitan dengan berita tular senarai nama termasuk keluarga, adik beradik dan kenalan Najib yang menyertainya dalam rombongan lawatan kerja ke Arab Saudi.

Malah ada pihak tertentu yang membuat serkap jarang dengan mendakwa kos keluarga dan kenalan Najib ke negara itu ditanggung oleh kerajaan.