Mahathir sifatkan kadar tol Malaysia jauh lebih murah daripada negara lain

 |Jan 10, 2018
File pic credit Wikimedia.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kadar tol lebuh raya di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara lain dan kadar bayaran tersebut adalah untuk kos penyelenggaraan lebuh raya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, kadar tol yang dikenakan adalah murah di negara ini dan memberi contoh kepada pembinaan Lebuh Laya Utara Selatan yang dibina selepas mengurangkan kos dengan cara memberi pinjaman murah kepada syarikat pengendali lebuh raya.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun sehingga 2003 itu berkata, kerajaan di bawah pemerintahannya cuba memastikan kadar tol rendah dengan membeli tanah dan memberi pinjaman mudah kepada syarikat pengendali lebuh raya.

Menurutnya, tujuan menurunkan kos pembinaan pada ketika itu adalah bagi memastikan syarikat yang terbabit tidak mengenakan kadar tol yang tinggi sehingga menyebabkan pengguna tidak mahu menggunakan laluan tersebut.

“Tambang tol yang murah di Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan ramai rakyat memperolehi manfaat dan berjaya menampung kesesakan lalu lintas di masa perayaan.

“Tetapi masih ramai yang tidak puas hati dengan kadar tol yang dikenakan. Sekiranya tidak dikenakan sebarang bayaran tol, adalah sukar untuk menyelenggara lebuh raya,” katanya dalam Program Policy Talk: Kos Sara Hidup, Jalan Penyelesaian? yang disiarkan menerusi Facebook Live beliau hari ini.

Beliau menegaskan kadar tol di negara ini lebih murah dan memberi contoh bayaran tol di Jambatan Pulau Pinang hanya RM7 dua hala, dan tidak pernah dinaikkan sejak 1980-an, manakala bayaran melalui sebuah jambatan yang hampir sama di Jepun mencecah RM270 sehala.

“Jambatan Pulau Pinang kadar tol RM7 sejak ia dibina pada tahun 1980-an, tak naik sekali pun.

“Dan yang baru ini juga RM7. Saya berpendapat walau ada yang mengeluh, agak terlalu tinggi ‘tol rate’ ini, tetapi sebenarnya ini pergi balik kita bayar RM7, sedangkan jambatan lebih kurang sama di Jepun ‘tol rate’ lebih RM500.

“Fikir-fikirlah sama ada kita (kerajaan) terlalu tamak mengenakan ‘tol rate’ terlalu tinggi? Buatlah perbandingan dengan mana-mana negara sekalipun,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi pakatan pembangkang turut menyentuh mengenai kenaikan kos sara hidup, pendekatan peningkatan gaji yang didakwa tidak dapat menangani kenaikan kos hidup, hutang negara dan isu pekerja asing.