Kepimpinan pembangkang bebal atau lupa?

 |Jan 10, 2018

PETALING JAYA: Sejak diumumkan keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelbagai reaksi yang dapat dilihat daripada ahli dalam parti pembangkang mahupun parti Barisan Nasional.

Keputusan berkenaan nyata menimbulkan rasa pelik apabila sebelum ini Tun Mahathir dilihat pernah ‘bermusuh’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti pembangkang.

Selepas hampir 18 tahun bercakaran semenjak Anwar dipecat daripada Umno pada 1998, bekas Ketua Pembangkang itu kini bergabung kembali dengan Tun Mahathir di dalam Pakatan Harapan.

Bagaimana pula, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh dipilih sebagai Perdana Menteri sementara sedangkan sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu sering kali mengkritik Pakatan Harapan sejak ditubuhkan dan pelbagai ‘serangan’ terhadap Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah.

Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo mempersoalkan sikap dan pendirian Anwar Ibrahim dan Wan Azizah serta kepimpinan PKR yang sanggup menerima Tun Mahathir malah bersetuju pula menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

“Saya jadi keliru dan pelik apabila melihat kehadiran Tun Mahathir diterima oleh kepimpinan PKR, terutamanya Anwar dan Azizah.

“Mereka lupa agaknya, gerakan reformasi yang tercetus sehingga membawa kepada penubuhan PKR ini adalah hasil penentangan mereka terhadap Tun Mahathir.

“Setelah pelbagai tekanan yang diterima dari Tun Mahathir, hari ini mereka boleh duduk bersemuka, bukan sekadar tersenyum dan bersalaman, bahkan sanggup pula menjalinkan kerjasama politik pula, bagi saya ia sesuatu yang amat luar biasa.

“Sama ada Tun Mahathir bijak bermain politik, atau Anwar dan kepimpinan pembangkang yang lainnya bebal dalam memahami seni politik Dr Mahathir,” katanya yang dipetik dari Umno Online.

Beliau turut mempersoalkan sikap pembangkang yang mungkin terlalu bebal untuk membaca gaya dan lenggok politik Tun Mahathir sehingga sanggup menerima semula pemimpin yang pernah menghina, mencerca malah membenarkan Anwar di penjara sejak sekian lama.

Ismail mendakwa pencalonan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara itu didalangi DAP dan menganggap parti lain dalam Pakatan Harapan sebagai ‘pak turut’.

“Ini memandangkan kita lihat pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang sering membuat kenyataan agar Dr Mahathir sekali lagi menjadi PM di negara ini.

“Ini dikuatkan lagi dengan pertemuan sulit Tun Mahathir dan Lim Kit Siang seperti yang didedahkan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz. Mungkin strategi untuk meletakkan Dr Mahathir sebagai calon PM adalah hasil pertemuan sulit tersebut.

“Ini jelas memperlihatkan kemungkinan bahawa Dr Mahathir mempergunakan pengaruh DAP di dalam PH dalam mendapatkan persetujuan bagi meletakkan beliau sebagai PM.

“Secara tidak langsung juga membuktikan bahawa parti-parti lain seperti PKR, PAN hanyalah sebagai parti pak turut semata-mata,” katanya.

Menyingkap kembali ‘percakaran’ dua pemimpim pembangkan itu, Dr Mahathir dalam temubualnya pada 1998 pernah menegaskan bahawa Anwar tidak layak untuk meneraju negara disebabkan dakwaan jenayah liwat yang dilakukan terhadap bekas pemandu peribadinya.

Malah ketika Anwar mengumumkan dirinya sebagai calon Menteri Besar Selangor untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr Mahathir menyatakan rasa bimbangnya akan kesejahteraan rakyat Selangor dibawah pimpinan Anwar.

Ujar Mahathir, Anwar sejak mula menyertai Umno sudah memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya menubuhkan PKR atas sebab yang sama.