Bersih 2.0 bidas tindakan SPR tambah kategori pengundi pos

 |Jan 10, 2018
Gambar Bersih 2.0

PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan beberapa kategori tambahan untuk penjawat awam mengundi secara pos sebagai percubaan menaikkan undi parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam satu sidang media hari ini mempersoalkan tindakan SPR tersebut kerana boleh menimbulkan curiga pengkritik berkenaan kerajaan sedang berusaha memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti.

“Saya fikir ia sangat jelas … peraturan SPR adalah seperti mengalihkan tiang gol, dan sekarang mereka memperkenalkan kategori baru, pengundi pos.

“Mengapa tidak memperkenalkannya pada pilihan raya umum sebelum ini?,” katanya yang dipetik dari Malaysia Insight.

SPR baru-baru ini mewartakan penjawat awam yang berada di Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Penguatkuasaan Maritim; pekerja kesihatan kerajaan; sukarelawan polis; Jabatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara; dan Jabatan Pendaftaran Negara yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi pos pada Oktober dan Disember tahun lepas.

Sebelum ini, hanya tentera, polis dan pasangan mereka, pengamal media dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara layak didaftarkan sebagai pengundi pos.

Awal Januari lalu, SPR menafikan dakwaan kononnya terdapat hampir empat juta pengundi pos pada PRU- 14 dan sebahagian besarnya anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kekeliruan itu mungkin berlaku kerana anggota RELA disalah erti sebagai termasuk dalam kategori anggota Sukarelawan Simpanan Polis DiRaja Malaysia (PVR).

Katanya, dalam warta bertarikh 23 Oktober 2017, jelas bermaksud bahawa hanya anggota PVR yang dilantik di bawah seksyen 35 Akta Polis 1967 dan diperaku oleh majikannya bahawa ia menjalankan tugas pada hari mengundi saja diberikan kemudahan pengundi pos.

SPR memberi jaminan bahawa setiap undi rahsia dan pemilih bebas untuk menentukan pilihan mereka serta SPR juga menyelar dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak tertentu tanpa fakta yang sahih dan menganggap ia berniat mengelirukan rakyat pada saat menjelangnya PRU-14.