250kg durian disita akibat peniaga tidak patuh arahan

 |Jan 10, 2018

PETALING JAYA: Keghairahan peniaga durian mengaut keuntungan akhirnya memakan diri selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Petaling Jaya menjalankan serbuan di beberapa premis di sekitar daerah berkenaan sejak dua hari yang berakhir malam semalam.

Dalam operasi berkenaan, KPDNKK menyita 250 kilogram durian jenis Musang King, Tracka, XO, D88, D101, dan D24 bersama lima alat penimbang selepas didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan dalam operasi dijalankan di sekitar daerah itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Daerah Petaling Jaya Kamaruddin Md Yassin berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan apabila empat gerai dikesan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan, manakala satu lagi gerai didapati tidak meletakkan tanda harga.

Menurutnya, sebanyak 38 gerai durian di sekitar Bandar Sunway, Taman Medan, SS2 dan Kampung Dato Harun diperiksa dalam operasi tersebut.

“Kami menyita durian jualan mereka sebanyak 250 kilogram yang dianggarkan bernilai RM6,300 bersama lima alat timbang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamaruddin berkata, operasi itu dijalankan berikutan kejadian tular mengenai timbangan durian yang mengelirukan sebelum ini.

“Tujuan operasi ini diadakan adalah untuk memeriksa dan memastikan peniaga durian mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tindakan peniaga apa jua jenis barangan yang dijual tidak mematuhi peraturan boleh menyalurkan maklumat di pejabat KPDNKK berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.