NUTP cadang 23 kod etika ibu bapa, penjaga

 |Jan 9, 2018
Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak (tengah) menunjukkan buku garis panduan untuk Guru Besar dan Guru yang sudah tidak berada di pasaran dan kali terakhir dicetak pada 1981. – MO pic Azrol Ali

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan 23 Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga kepada Kementerian Pendidikan supaya diselaraskan di semua institusi pendidikan di seluruh Malaysia.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika tersebut sebagai garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan penjaga semasa berada di sekolah untuk menjaga keharmonian dalam kalangan ibu bapa, guru dan pelajar.

Menurutnya, ibu bapa perlu memahami kepentingan menjalinkan kerjasama erat bersama warga pendidikan dan ianya merupakan satu elemen penting dalam membentuk insan yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berkeupayaan mecapai kesejahteraan diri.

“Sebelum ini kod etika untuk ibu bapa dan penjaga adalah berdasarkan persefahaman dan tatatusila di antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga.

“Melalui perkenalan kod etika ini dapat diseragamkan di seluruh institusi pendidikan di seluruh Malaysia sekaligus dapat menjamin persefahaman antara ibu bapa dengan sekolah,” katanya pada sidang media di Dewan Perjuangan, Wisma NUTP, di sini, hari ini.

Kamarozaman berkata, kod etika tersebut adalah hasil perbincangan bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF), UNI- Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Persatuan Ibu Bapa dan Guru Taman Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Pertubuhan Lawyer Friend for Life (LFF), Sarawak Teachers Union, Yayasan Guru Tun Hussien Onn dan Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, antara cadangan yang terkandung dalam kod etika tersebut adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru berkaitan anak mereka.

Jelasnya, ini kerana pihak pentadbir merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk berbincang berkenaan permasalahan bersama guru dan ibu bapa.

Katanya, cadangan lain membabitkan Ibu bapa/ penjaga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan dan pihak sekolah berhak menghubungi pihak polis jika arahan ini tidak dipatuhi.

Jelasnya, bagi menyokong persekitaran sekolah yang selamat, pihak sekolah tidak boleh bertolak ansur dengan ibu bapa yang menyalahgunakan atau mesej yang bernada mengancam seperti kiriman emel, teks, mel suara, telefon atau sebarang bentuk komunikasi bertulis serta media sosial seperti Facebook.

“Sekiranya perkara tersebut berlaku di kawasan sekolah, pihak pentadbir sekolah boleh menghubungi pihak berkuasa atau boleh melarang orang berkenaan memasuki kawasan sekolah.

“Kami tidak menganggu ibu bapa untuk datang ke sekolah tetapi perlulah ada tatatusila dan sekurang-kurangnya hubungi pihak sekolah atau PIBG sebelum membuat laporan polis kerana itu adalah langkah terakhir,” katanya.

Kamarozam berkata, cadangan tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa tersebut untuk diluluskan sebelum diedarkan kepada ibu bapa/ penjaga sebagai garis panduan.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, 23 kod etika tersebut membabitkan 15 panduan untuk dipatuhi dan lapan tingkah laku yang perlu dihindari.

Menurutnya, NUTP mengalu-alukan pendapat daripada Sekolah Pendidikan Khas dari segi kefahaman ibu bapa bagi memastikan anak-anak OKU yang mencederakan diri sendiri.