Amanah mahu Pakatan Harapan bincang semula pembahagian kerusi

 |Jan 9, 2018
Gambar fail kredit Facebook Salahuddin Ayub.

PETALING JAYA: Pembahagian kerusi Parlimen Pakatan Harapan menimbulkan banyak rasa tidak puas hati beberapa kumpulan dan individu dalam Amanah mengenainya.

Susulan itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mencadangkan platform Pakatan Harapan (Harapan) digunakan untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi tersebut.

Menurutnya, perbincangan tersebut membabitkan mengatur semula kerusi yang dirasakan boleh menjadi faktor kemenangan dan kerusi negeri.

“Rundingan mengenai pengagihan kerusi ini kita bincang dari semua aspek seperti faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera. Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi.

“Jalan penyelesaian kepada situasi sekarang adalah melalui Harapan iaitu kita atur balik kerusi yang kita rasa boleh berbincang tentang faktor kemenangan dan masih ada kerusi-kerusi negeri masih dalam proses rundingan. Masih ada jalan keluar dan dapat kita selesaikan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding sebahagian besar kerusi di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Pengagihan tersebut menyaksikan Bersatu akan bertanding di 52 kerusi parlimen, diikuti 51 kerusi ditandingi PKR, 35 kerusi untuk DAP dan 27 kerusi milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Susulan pengumuman tersebut, Amanah Johor dilaporkan memboikot Konvensyen Pakatan Harapan 2018, kerana parti itu hanya mendapat dua kerusi di Johor.

Manakala, Pengarah Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli didakwa meletak jawatan sebagai Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan selepas tidak diberikan kerusi parlimen Titiwangsa, namun dinafikan beliau.

Amanah Kuala Lumpur juga menyifatkan kelmarin sebagai hati duka kerana tidak mendapat 12 kerusi parlimen di Kuala Lumpur.

SHARE