Rahman: Krisis politik Tun Mahathir dan Anwar lumpuhkan kestabilan negara

 |Jan 8, 2018
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengingatkan rakyat mengenai persengketaan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah melumpuhkan kestabilan negara.

Menurutnya, persengketaan peribadi dua individu berkenaan sejak 1998 telah melahirkan budaya politik mencerca, maki hamun dan kebencian yang melampau selama 20 tahun.

“Untuk 20 tahun, negara kita berdepan dengan politik yang tidak stabil kerana nafsu politik kedua-dua orang ini.

“Demonstrasi, rusuhan dan kempen menghasut yang tidak pernah reda sejak 1998 hingga akibatnya ekonomi kita terkesan, kestabilan politik kita lumpuh.

“Jangan ingat soal Tun Mahathir dan Anwar berbaik semula hanyalah isu antara dua individu politik,” katanya menerusi Twitter.

Beliau menjelaskan demi permainan nafsu politik, Tun Mahathir dan Anwar sanggup memperjudikan kestabilan negara dan ramai kerjaya orang politik binasa kerana persengketaan mereka.

Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, pemilihan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang sudah tentu tidak akan diterima rakyat.

“Rakyat terkilan kerana Tun Mahathir dan Anwar sanggup mengharubirukan kestabilan negara selama 20 tahun dan selepas itu, bila ada kepentingan politik, boleh pulak sambil lewa minta maaf sewenang-wenangnya dan paksa rakyat menerima kemaafan itu.

“Apakah Tun Mahathir dan Anwar anggap rakyat boleh diperbodohkan begitu sahaja? Sudah tentu tidak. Di situ letaknya kemarahan rakyat terhadap sandiwara politik 20 tahun Tun Mahathir dan Anwar sehinggakan ada penyokong reformasi tulen merasa amat marah.

“Air mata, darah, keringat dan pengorbanan peribadi mereka membela Anwar Ibrahim selama 20 tahun yang ditindas oleh Tun Mahathir, dalam sekelip mata telah menjadi sia-sia dan dipelerekehkan begitu sahaja,” katanya.

Beliau menganggap pasti ada penyokong Pakatan Harapan yang akan mempersoalkan mengapa mudahnya Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim melupakan kisah yang lalu sehingga boleh bermaaf-maafan selepas persengketaan 20 tahun lalu.

“Penyokong PH kata itu hal peribadi antara dua orang insan yang sudah insaf. Kalau orang nak berbaik, apa salahnya, kata penyokong PH,” tulisnya.

Pakatan pembangkang semalam mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-4).

Rahman menyifatkan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang hanya akan memudahkan Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.