Hutang negara kekal terurus dan semakin berkurang kata Najib

 |Jan 5, 2018
File pic credit Facebook Najib Razak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menegaskan hutang Kerajaan Persekutuan masih kekal terurus dan bukannya berada di paras bahaya seperti yang didakwa pembangkang.

Menerusi perkongsian di laman Twitternya hari ini, Najib menjelaskan kedudukan hutang kerajaan kepada rakyat yang masih keliru dan pihak memfitnahnya kononnya hutang negara berada di paras bahaya.

Menurutnya, dakwaan mengenai negara akan muflis adalah tidak benar kerana pada akhir Jun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 50.9 peratus daripada KDNK yang mana ia masih di bawah paras had yang ditetapkan Kerajaan iaitu 55 peratus daripada KDNK.

“Ini menunjukkan hutang Kerajaan masih kekal terurus malah ia semakin berkurang 53.2 peratus pada akhir Jun 2016 dan ini merupakan pencapaian yang patut kita banggakan.

“Nisbah hutang Kerajaan berbanding KDNK Malaysia adalah lebih baik berbanding negara maju seperti Singapura pada paras 112 peratus, United Kingdom pada 89.3 peratus, Kanada pada paras 92.3 peratus dan banyak lagi contoh-contoh yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di laman blognya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan adalah tidak benar jika ada yang menuduh Kerajaan bakal muflis hanya berdasarkan hutang Kerajaan Persekutuan apabila badan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia yang menaikkan unjuran KDNK daripada 4.9 peratus kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017.

“Malah tidak masuk akal untuk mengatakan kita akan muflis apabila banyak negara luar mahu melabur dan merangka perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

“Meskipun Kerajaan hari ini menghadapi cabaran fitnah pembangkang yang mengharapkan ekonomi Malaysia ranap semata-mata untuk mendapat kuasa, kami akan sentiasa mencari jalan mengukuhkan ekonomi negara bagi menaikkan nama negara setaraf dengan kuasa besar ekonomi dunia yang lain,” katanya.

Najib sebelum ini menyifatkan dakwaan pembangkang yang negara akan bankrap bertujuan mengelirukan rakyat, sekaligus menghilangkan keyakinan terhadap Umno dan Barisan Nasional.

SHARE