Harakah alami ‘kejatuhan’, hentikan pekerja dan tawar kontrak gaji rendah

 |Jan 5, 2018

PETALING JAYA: Adakah akhbar lidah rasmi Pas, Harakah bakal menamatkan operasinya selepas 31 tahun dalam industri penerbitan ini? Itu persoalan yang timbul selepas Harakah memberhentikan semua kakitangannya berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Menurut laporan Malaysia Insight, semua 20 kakitangan itu kemudian ditawarkan perkhidmatan secara kontrak selama enam bulan dengan tawaran gaji satu pertiga daripada gaji asal atau minimum RM1,000.

Selain itu, dalam kontrak tersebut menetapkan syarat-syarat perkhidmatan lebih rendah termasuk cuti sehari bagi setiap bulan.

Kontrak baru dengan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd ditawarkan berkuat kuasa serta merta selepas pemberhentian iaitu pada 1 Januari tahun ini.

Semua kakitangan Harakah sebelum ini digajikan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Difahamkan, ada beberapa kakitangan Harakah enggan menerima tawaran tersebut dan mengambil keputusan untuk bekerja di tempat lain.

Lebih menyedihkan apabila ada kakitangan yang masih belum menerima gaji penuh untuk November tahun lalu dan masih menunggu bayaran gaji untuk Disember tahun lalu.

Difahamkan, pemimpin Pas yang bertanggungjawab turut tidak menjaga kebajikan pekerja.

Sebelum ini, beberapa pengarang dan wartawan kanan Harakah berhenti atau diberhentikan selepas perpecahan dalaman parti Islam itu susulan pemilihan PAS pada Jun 2015 yang membawa kepada penubuhan parti serpihan Amanah.

Pada sekitar tempoh yang sama juga, Harakah berdepan kontroversi selepas pengurusan akhbar itu meminta ketua pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman, yang mengalami masalah kesihatan, untuk letak jawatan. Kontrak dua pengarang kanannya, Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid kemudian turut ditamatkan.

Harakah mula diterbitkan pada 1987 dengan kekerapan seminggu sekali, sebelum terbit dua kali seminggu tiga tahun kemudian. Ia pernah mencatatkan rekod edaran tertinggi sehingga 400,000 naskhah terjual ketika demam pilihan raya umum 1999.

Akhbar itu disyaratkan oleh Kementerian Dalam Negeri dijual kepada ahli PAS sahaja namun bebas dibeli oleh mereka yang bukan ahli.

SHARE