Tunku Aziz anggap kenyataan Zainuddin bermotifkan politik

 |Jan 4, 2018
– MO pic by Azrol Ali

PETALING JAYA: Bekas pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menganggap kenyataan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mendakwa bahawa beliau menawarkan dirinya untuk menjadi Menteri Besar Kedah adalah tindakan bermotifkan politik.

Menurutnya, kenyataan tersebut dipercayai mempunyai agenda tersendiri namun bukannya bersifat peribadi.

“Saya kira ini adalah satu kenyataan yang bermotifkan politik kerana ia keluar sehari selepas saya membuat sidang akhbar berkenaan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya percaya beliau (Zainuddin) boleh terus menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini daripada terus menulis di laman blognya dan menyebarkan fitnah.

“Jelas, tindakan ini adalah tidak munasabah kerana saya sudah berusia 84 tahun dan lebih baik saya duduk di rumah dan meluangkan masa bersama keluarga daripada menjadi Menteri Besar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkongsian bekas Zainuddin dalam tulisannya bertajuk “Tunku Abdul Aziz keluarga Diraja bakal MB Kedah ganti Ahmad Bashah” yang dimuat naik dalam laman blognya pada Sabtu lalu.

Menerusi perkongsian Zainuddin, beliau mendakwa Tunku Aziz telah menawarkan dirinya untuk menjadi Menteri Besar Kedah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Tunku Aziz menyangkal dakwaan tersebut dengan menjelaskan tidak pernah mempunyai cita-cita untuk memegang jawatan dalam politik lebih-lebih lagi di Kedah.

Tunku Aziz nyata kecewa dengan tindakan Zainuddin namun tiada niat untuk mengenakan sebarang tindakan saman.

“Terpulang kepada (Zainuddin) untuk meminta maaf sekiranya dia fikir ada melakukan kesalahan tetapi saya akan menerima permohonan maaf secara terbuka mahupun tertutup.

“Saya tiada niat untuk saman kerana percaya kepada kebebasan bersuara tetapi mengikut peruntukan dalam undang-undang,” katanya.

Disebalik kejadian tersebut, beliau turut dikritik menerusi ruangan komen di laman blog Zainuddin apabila ada netizen mempersoalkan kedudukan beliau dan asal usulnya.

Jelasnya, walaupun dilahirkan di Kedah namun beliau banyak menghabiskan masanya di negeri Selangor selepas meninggalkan negeri Jelapang Padi itu pada 1949 ketika usianya 15 tahun.

Pada sidang media 29 Disember lalu, Tunku Aziz menimbulkan pertanyaan kepada Dr Mahathir mengenai kebenaran bahawa beliau mahu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atas tiket Umno.

Sehari selepas sidang media iaitu Sabtu lalu, Zainuddin menerusi blognya Zam Kata memuat naik tulisannya bertajuk “Tunku Abdul Aziz keluarga Diraja bakal MB Kedah ganti Ahmad Bashah”.

Tunku Aziz tidak menolak kemungkinan tulisan Zainuddin itu sebagai usaha untuk mengalih pandangan mengenai persoalan yang dikemukannya.