Pemuda Umno gesa tiada kenaikan tol tahun ini

 |Jan 4, 2018

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno mengesa Kementerian Kerja Raya untuk memastikan tiada lagi sebarang kenaikan kadar tol di seluruh negara bagi tahun ini, seperti komitmen kementerian dan kerajaan pada tahun lepas.

Menurutnya, sebarang kenaikan kadar tol nanti dilihat bercanggah dengan usaha serta hasrat kerajaan dalam meringankan beban rakyat.

“Komitmen untuk mengekalkan kadar tol di seluruh negara bagi tahun ini juga boleh dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya Barisan Nasional nanti bagi membuktikan kesediaan dan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda Umno turut menyambut baik keputusan kerajaan yang telah memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Jelasnya, keputusan tersebut selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 itu pastinya memberi kelegaan kepada para pengguna lebuh raya yang terlibat.

“Ini terutamanya dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

1 Januari lalu, kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga dimansuhkan dan sekaligus memberi kelegaan serta meringankan bebanan pengguna.

Pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam membolehkan pengguna menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Bagi Lebuhraya EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor saja.

SHARE