Tiada niat jadi MB Kedah kata Tunku Abdul Aziz

 |Jan 2, 2018
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. – Gambar fail MO.

PETALING JAYA: Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menjadi Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Kalau ada niat nak jadi Menteri Besar atau apa sahaja di dalam kerajaan atau Umno, patut dari dulu lagi saya masuk Umno.

“Tapi tiada langsung bercita-cita politik yang tinggi ke arah itu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Bekas Naib Presiden Transparency International itu menganggap perkara tersebut sebagai fitnah.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkongsian bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dalam tulisannya bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz keluarga Diraja bakal MB Kedah ganti Ahmad Bashah’ yang dimuat naik pada 30 Disember 2017.

Menerusi blog Zainuddin, yang lebih dikenali dengan Zam, berkata Tunku Aziz cuba meyakinkan Perdana Menteri bahawa MB Kedah kini tidak layak untuk meneruskan jawatan tersebut selepas Pilihan Raya Umum nanti.

“Bekas Pengerusi DAP yang sekarang menjadi propagandis popular Umno, yang juga seorang keluarga di Raja Kedah, telah menawarkan dirinya untuk menjadi Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah yang dianggapnya tidak popular di kalangan rakyat Kedah.

“Beliau (Tunku Aziz) mempunyai beberapa sebab untuk layak menggantikan Ahmad Basha, diantaranya ialah kerana dia anggota Keluarga Diraja Kedah, mempunyai integriti sebagai bekas diplomat dan telah berkorban untuk Umno dengan meninggalkan DAP,” tulis Zainuddin di lama blognya.

Difahamkan, kenyataan Zainuddin ini dikeluarkan sehari selepas Tunku Abdul Aziz mengulas mengenai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa sedang berunding supaya anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dapat bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini susulan laporan Raja Petra Kamarudin dalam portal Malaysia Today, yang mendakwa Dr Mahathir sedang merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelamatkan karier politik Mukhriz.

Antara lain, persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan atau Menteri Dalam Negeri.

Sebagai balasan, Dr Mahathir akan berhenti menyerang Najib dan akan beralih kepada BN.

Tunku Abdul Aziz, yang juga bekas Naib Pengerusi DAP, mendesak Dr Mahathir menjawab dakwaan itu kerana ia jelas menunjukkan beliau tidak percayakan pakatan pembangkang yang diterajuinya.

Beliau turut meminta pemimpin ‘supremo’ DAP, Lim Kit Siang, memberikan reaksinya berhubung dakwaan itu.