Sasterawan Negara Shahnon Ahmad meninggal dunia

 |Dec 26, 2017
Foto asal kredit www.itbm.com.my.

PETALING JAYA: Negara kehilangan insan yang memberi sumbangan dalam dunia sastera Melayu selepas Prof Emeritus Datuk Dr Hj Shahnon Ahmad disahkan meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Menerusi perkongsian Dewan Sastera di laman Facebook mengesahkan pemergiaan sasterawan negara itu.

Disifatkan sebagai ‘revolutioner’, Allahyarham yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982, sering mengetengahkan isu rakyat dalam karya-karya beliau.

Dari awal zaman penulisan beliau lagi, Allahyarham sudah menegakkan suara dan hak warga desa dan petani dalam novel berjudul ‘Rentong’ (1965) dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (1973).

Walaupun mempunyai nilai kasih yang tinggi terhadap isu golongan miskin, Allahyarham turut memberi penekanan terhadap isu agama.

Contohnya, pada 1977, beliau mengemukakan gagasan sastera Islam yang menegaskan bahawa sastera Islam perlulah berhikmah untuk manusia sejagat sebagai sebuah ibadah.

Karya-karya Allahyarham yang berkisar tentang agama juga mengkritik mereka yang menggunakan agama untuk memuaskan nafsu.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Sik dari tahun 1999 ke 2004.

Melalui sastera, beliau menulis dengan penuh sinis tentang ahli-ahli politik pasca merdeka yang mengambil kesempatan atas jawatan mereka dan tidak memperjuangkan hak rakyat.

Antara novel-novelnya, Rentong (1965), Terdedah (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Menteri (1967), Protes (1967), Perdana (1969), Srengenge (1973), Sampah (1974), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978), Al-Syiqaq I (1985), Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Patriarch (1991), Ummi & Abang Syeikhul (1992), TIVI (1995), Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai (1995), Sutan Baginda (1997). – MO