‘Politik bukan hak mutlak ahli politik’

 |Dec 22, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Penganalisis politik, Datuk Zainal Abidin Borhan menyifatkan hal politik dalam negara bukanlah hak mutlak ahli politik semata-mata sehinggakan rakyat terutamanya golongan artis seolah-olah dikecam apabila menyuarakan pandangan.

Menurutnya, golongan artis adalam sebuah kelompok kecil yang jelas dapat menyemarakkan lagi keadaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke – 14 nanti.

Beliau berkata, golongan artis ini tentu sahaja dapat memberi pengaruh kepada rakyat menerusi laman sosial namun akhirnya terpulang kepada rakyat untuk memilih.

“Penglibatan artis dalam politik bukan perkara baharu kerana sebelum ini Allahyaran Tan Sri Jins Shamsuddin dan artis lain menyertai parti Umno dan parti pembangkang.

“Jika mereka menyuarakan pandangan, itu juga suara rakyat dan kita harus meraikan suara rakyat kerana ini negara demokrasi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Zainal berkata, sekiranya ada ahli politik yang berpendapat artis tidak boleh terjebak dalam politik, itu adalah tindakan anti demokrasi.

Menurutnya, isu menggunakan artis dalam politik tidak perlu dibangkitkan tetapi semua pihak perlulah matang dalam tindakan dan kenyataan mereka.

“Setiap artis ada kebijaksanaan sendiri dan peluang memberikan suara dan pendapat ini jangan diberhentikan kerana ini adalah negara demokrasi,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa golongan artis menyuarakan pandangan mereka mengenai negara, antara Datuk Shiela Majid, Fathia Latiff dan beberapa artis lain sehinggakan padangan mereka itu dikecam netizen dan ada beranggapan mereka dipergunakan ahli politik. – MO