Malaysia cadang buka pejabat kedutaan di Baitulmaqdis

 |Dec 22, 2017
Gambar fail MO.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuka pejabat kedutaan Malaysia di Timur Baitulmaqdis.

Menurutnya, usul berkenaan akan dibentangkan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada mesyuarat Kabinet yang akan diadakan pada minggu pertama Januari ini.

Jelasnya, perbincangan tersebut akan merangkumi pertimbangan daripada pelbagai aspek dan kemudiannya akan dibahas dan diperhalusi jemaah menteri sebelum keputusan dibuat.

“Kertas memorandum akan dikemukan dan kita akan bincang perkara ini tidak lama lagi, jangkaan seawal minggu pertama Januari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Masjid Putra di sini.

Jelasnya, perbincangan akan dibuat sebelum Malaysia mengemukakan sebarang pendirian untuk menubuhkan pejabat kedutaan di Timur Baitulmaqdis sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Zahid bersama beberapa pemimpin lain termasuk pembangkang menghadiri Perhimpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitul Maqdis di Masjid Putra bagi menunjukkan bantahan terhadap keputusan kerajaan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zahid berkata ugutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan penyaluran dana kepada negara yang bangkit menyokong Palestin sepatutnya tidak berlaku.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, tindakan Trump bercanggah dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pada 6 Disember lalu.

“Malaysia tidak mahu terikat dengan sebarang ugutan dan kita bukan penerima dana terbesar yang menerima bantuan ekonomi dari Amerika Syarikat tetapi bantuan teknikal dan keselamatan.

“Amerika Syarikat tidak harus menggunakan ugutan tersebut kerana ia merupakan pendapat masyarakat antarabangsa supaya Baitulmaqdis kekal milik Palestin,”katanya. – MO