Isu tanah Jalan Semarak: ‘Kepentingan Felda dan peneroka sentiasa dijaga’

 |Dec 22, 2017

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan satu siasatan akan dijalankan bagi memastikan samada terdapat kecuaian atau salah laku susulan pendedahan mengenai ‘kehilangan’ tiga bidang tanah Felda di Jalan Semarak yang sudah bertukar milik.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berasaskan laporan siasatan bagi memelihara kepentingan Felda dan penoraka.

“Saya telah minta Felda mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi kepentingan Felda setelah dimaklumkan mengenai isu tanah Jalan Semarak.

“Kepentingan Felda dan peneroka mesti sentiasa kita jaga dalam segala usaha pembangunan,” katanya menerusi perkongsian di laman Twitter hari ini.

Jelasnya, satu siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak berkuasa serta merta dan tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui agensi itu ‘kehilangan’ tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak dan mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak Felda yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). – MO