Ibu dua anak sertai pertandingan Miss & Mrs Cultural Malaysia Deaf untuk motivasi diri

 |Dec 21, 2017
Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Status sebagai seorang ibu kepada dua orang anak tidak menghalang Charmaine Lew untuk menyertai Miss & Mrs Cultural Malaysia Deaf yang akan diadakan pada 24 Disember ini.

Ibu kepada sepasang cahaya mata berusia lapan dan 10 tahun ini menganggap penyertaannya itu sebagai motivasi diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

Wanita berusia 32 tahun itu ketika ditemui semalam berkata, dia mengetahui mengenai pertandingan melalui rakan-rakan dan bersedia menyertainya walaupun bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.

“Saya mahu mencapai peringkat yang tertinggi dalam hidup dan menyertai pertandingan ini memberi motivasi kepada saya.

“Saya sukakan kecantikan dan menyertai pertandingan ini saya dapat mempelajari pelbagai perkara,” katanya pada sidang media Pertandingan Miss &Mrs Cultural Malaysia Deaf di sebuah hotel di sini semalam.

Seorang lagi peserta,  Kogilavani Many, 28, berkata, penyertaannya dalam pertandingan tersebut dapat membantu mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Menurutnya, penyertaannya itu adalah pujukan dari majikannya dan sekaligus mencabar dirinya untuk bertanding.

Pertandingan Miss & Mrs Cultural Malaysia Deaf bakal disertai 16 peserta dan pemenangnya akan mewakili negara di peringkat dunia pada pertengahan 2018.

Pada pertandingan tersebut, peserta bukan sahaja mengenakan pakaian kebudayaan masing-masing tetapi juga berlakon dan menari dengan muzik walaupun semua peserta mempunyai masalah pendengaran. – MO