Pertandingan Miss & Mrs Cultural Malaysia Deaf bantu fahami golongan pekak

 |Dec 20, 2017
Foto MO Azrol Ali.
PETALING JAYA: Seramai 16 wanita bakal menyertai bakal Miss & Mrs Cultural Malaysia Deaf yang akan diadakan pada 24 Disember ini di Dewan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Penganjurnya Rupanand Palaniandy berkata, selama setahun pencarian, pihaknya berjaya mengasah bakat 16 orang peserta sebelum salah seorang mereka dinobatkan sebagai pemenang.
Menurutnya, setiap peserta diberi peluang untuk mempelajari mengenai kecantikan, mengasah bakat dan membina semangat dalam diri mereka.
“Kami mengadakan latihan selama dua hingga tiga untuk mereka membina semangat dalam diri sekaligus mengenal pasti bakat yang ada pada mereka.
“Kecantikan bukan sahaja dari luaran dan berjalan seperti pertandingan ratu cantik yang lain tetapi juga menghidupkan semangat dalam diri mereka,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Rupanand yang juga penganjur kepada Miss Malaysia India berkata, pertandingan melibatkan golongan pekak ini adalah pertama kali diadakan dan peserta yang memenangi pertandingan tersebut akan mewakili negara ke peringkat dunia.
“Kami bercadang untuk menganjurkan pertandingan ini diperingkat dunia dan pemenang akan mewakili Malaysia ke peringkat dunia.
“Pertandingan untuk golongan pekak ini akan diadakan pada pertengahan 2018 dan kini dalam proses kerjasama dengan negara yang terbabit,” katanya.
Beliau percaya pertandingan tersebut dapat memberi kefahaman kepada individu lain untuk memahami golongan pekak.
Menurutnya, pertandingan yang pertama kali diadakan itu mendapat sokongan dan kerjasama daripada badan pertubuhan bukan kerajaan seperti Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri Ramesh Rao dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.
Sementara itu, Ramesh berkata, pertandingan tersebut dapat membantu peserta untuk mencari kecantikan dalam diri mereka.
“Melalui pertandingan ini mereka boleh tahu cara untuk mencantikkan diri dan akan menjadi guru kepada golongan pekak yang lain,” katanya. – MO