Najib diberikan sambutan negara di Maldives

 |Dec 20, 2017
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkongsi gambar di Maldives di laman Facebook rasminya.

MALE: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yang tiba di sini pada Selasa bagi lawatan rasmi dua hari di Maldives, diberikan sambutan negara di Dataran Jumhooree di sini pada Rabu.

Ketibaan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri Kabinet disambut oleh Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom dan Wanita Pertama Fathimath Ibrahim.

Najib disambut dengan persembahan kebudayaan tradisonal oleh pelajar sebelum menerima tabik hormat di pentas.

Tujuh das tembakan hormat dilepaskan oleh Angkatan Pertahanan Negara Maldives (MNDF) dan diikuti dengan lagu kebangsaan Malaysia dan Republik Maldives dimainkan.

Perdana Menteri Malaysia kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada anggota MNDF. Selepas itu, Abdulla Yameen dan Najib memperkenalkan anggota delegasi masing-masing sebelum beredar ke Pejabat Presiden.

Di Dharumavantha Maalam di Pejabat Presiden, Najib menandatangani buku pelawat dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Abdullah Yameen.

 

Kedua-dua pemimpin kemudiannya menyertai mesyuarat dua hala bersama-sama delegasi negara masing-masing sebelum menyaksikan majlis menandatangani empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara bagi penubuhan Pusat Kebudayaan Maldives di Malaysia dan kerjasama dalam bidang kesihatan, bomba dan penyelamat; dan pendidikan tinggi.

Najib dan Abdullah Yameen dijadual mengadakan sidang media bersama dan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh presiden.

Sementara itu, Rosmah mempunyai program berasingan di Hulhumale iaitu melawat Fiyavathi Orphanage, yang menempatkan anak yatim dan kanak-kanak terbiar.

Malaysia dan Maldives, sebagai negara Islam, menjalin hubungan akrab dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal yang telah membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara. Kedua-dua negara menjalin hubungan dua hala sejak 49 tahun lepas.

Maldives ialah negara terkecil di Asia dari segi populasi dan saiz. Negara pulau seluas 90,000 km persegi itu mempunyai hampir 450,000 penduduk. – Bernama