Dakwaan rasuah dan kemewahan melampau: Azwan Ali serah bukti kepada SPRM

 |Dec 20, 2017
Foto Instagram Azwan Ali.

PETALING JAYA: Personaliti televisyen sensasi, Azwan Ali hari ini tampil di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya bagi menyerahkan bukti berhubung dakwaan isu salah guna kuasa membabitkan anggota keluarganya.

Azwan yang tiba di pejabat SPRM kira-kira jam 10.05 pagi itu ditemani pembantunya dengan menaiki kenderaan jenis Alphard berwarna hitam.

Selepas 10 minit memasuki bangunan berkenaan, Azwan mengadakan sidang media dengan menyatakan dia menyerahkan bukti berhubung salah laku rasuah dan kemewahan melampau, namun enggan mendedahkan nama individu berkenaan.

“Saya masuk dan terus berjumpa dengan pegawai soal siasat dan menyerahkan dokumen yang relevan.

“Saya bukan hanya datang kosong dan buktinya adalah kuat,” katanya.

Menurutnya, dokumen yang diserahkan itu adalah bukti yang disimpan selama 30 tahun dan menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Selebriti sensasi itu berkata, dia menerima ucapan tahniah daripada pembangkang mengucapkan tahniah susulan tindakannya yang membawa bukti ke SPRM.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan individu yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Semalam, Azwan menerusi Instagramnya berkongsi video muka hadapan sebuah dokumen yang tertulis, antaranya, ‘Salah laku rasuah dan kemewahan melampau…’.

“Sesungguhnya makan hasil riba itu dilaknat Allah SWT,” tulisnya.

Azwan yang juga adik kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, pada awal Disember lalu membuat kejutan apabila muncul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan mengancam akan mendedahkan rahsia mengenai abangnya yang didakwa telah disimpan sejak sekian lama. – MO