Usahawan wanita ke peringat global

 |Dec 7, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: “Dompet sendiri dan kebebasan ekonomi,” itu yang diketengahkan Ketua Wanita Umno Tan Sri Sharizat Abdul Jalil dalam memastikan semua wanita bergiat aktif dalam membantu meningkatkan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Pameran Wanita Kreatif 2017 bersempena Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Pameran yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE) itu memberi tumpuan kepada potensi perniagaan yang dimiliki usahawan wanita di dalam negara.

Sharizat berkata, kebebasan wanita dalam memiliki dompet sendiri itu bukan sahaja dapat mengubah kehidupan tetapi juga ekonomi negara.

“Perjuangan kami wanita Umno adalah mudah itu seelok-eloknya setiap wanita ada dompet sendiri iaitu pendapatan sendiri, kebebasan ekonomi ini akan membawa kepada kemantapan bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada ekonomi negara,” katanya.

Pameran tersebut turut disertai 13 gerai dari negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta tiga gerai selebriti tempatan termasuk pelakon dan pengarah Erma Fatima.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed turut sama merasmikan pameran berkenaan yang memberi penekanan kepada pameran seni kreatif tempatan seperti seni manik, jahitan baju tradisional dan batik.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE berkata pameran berkenaan bertujuan menampilkan bakat keusahawanan wanita dari negeri di Malaysia selain memberi pendedahan kepada kepentingan pembangunan kapasiti bagi usahawan ini menyediakan diri ke arena global.

Menurutnya, MATRADE sebagai agensi promosi perdagangan Malaysia mempunyai pelbagai fasilitasi untuk membantu syarikat milikan wanita berjaya di peringkat antarabangsa antaranya melalui program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP).

“Program WEDP ini merupakan program bimbingan tiga tahun yang fokus kepada peningkatan pengetahuan dan kemahiran mengeksport buatan syarikat milikan wanita.

“Sebanyak 120 syarikat milik wanita telah mendapat manfaat daripada program ini dan akan ditambah kepada 10 syarikat dalam masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, syarikat berkenaan terdiri daripada sektor makanan dan minuman, gaya hidup, teknologi maklumat, minayk dan gas serta farmaseutikal berjaya menembus pasaran di ASEAN, Amerika Syarikat, China, Oman dan Qatar. – MO