‘Sheila kurang kefahaman, ekonomi bukan bidang dia’

 |Dec 6, 2017

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid kurang kefahaman susulan keluhannya mengenai situasi ekonomi negara.

Beliau menjelaskan sebahagian besar kenyataan pelontar lagu Antara Anyir dan Jakarta itu tidak benar kerana beliau bukan pakar ekonomi.

“Banyak yang salah, maknanya dia banyak salah, sebab itu bukan bidang dia. Tetapi, kalau dia hendak cakap barang mahal, orang menoreh getah pun boleh cakap barang mahal.

“Kita kena hormat suara di luar sana, kita anggap suara rakyat yang pelbagai. Kita kena beri perhatian. Kita kerajaan kena positif,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau bagaimanapun menghormati dan berjanji akan terus positif dengan respons rakyat.

Annuar turut bersimpati dengan penyanyi lagu Sinaran itu sekiranya status yang dimuat naik di laman Twitter semalam adalah miliknya kerana menganggap ada kesalahan kenyataan yang dilakukan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai status berkenaan kerana bimbang ada pihak yang menggunakan akaun palsu untuk mengeluarkan kenyataan.

Semalam, Sheila membuat kenyataan melalui Twitter yang mengeluh berkenaan ekonomi negara, kos sara hidup tinggi, serta rakyat Malaysia yang sudah bosan dan marah kerana diperah untuk membayar hutang yang bukan berpunca daripada rakyat.

“Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang.

“Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami,” katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.

Sebelum ini, pelakon Fathia Latiff turut mempersoalkan mengapa hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an.

Dia turut menggesa siasatan dijalankan ke atas wang yang didepositkan ke akaun peribadi “individu-individu tertentu”.

Susulan itu, pegawai perdana menteri, Datuk Rizal Mansor secara terbuka menasihati segelintir artis yang sewenangnya menghentam kerajaan tanpa mengetahui perkara sebenar.

Beliau turut menasihatkan golongan seni tidak dijadikan alat pembangkang yang didakwanya terjadi pada Pilihan Raya Umum 2013 apabila golongan artis hanya digunakan untuk berceramah tetapi kemudiannya nasib mereka langsung tidak dipedulikan. – MO

SHARE