Puteri UMNO saran perluas PTPTN kepada pelajar di luar negara

 |Dec 6, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO menyarankan pembiayaan pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperluaskan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PTPTN boleh menjadi badan pinjaman pendidikan alternatif baharu buat pelajar luar negara yang kini bergantung kepada pinjaman biasiswa daripada entiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurutnya, kaedah berkenaan dilihat mampu mambantu meringankan kos kehidupan pelajar di luar negara yang tinggi dan membebankan.

“Ramai juga pelajar kita di sana yang menanggung kos pendidikan sendiri, ia memang membebankan ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit.

“Puteri akan membawa perkara ini kepada PTPTN untuk mencari satu kaedah supaya dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis apresiasi Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas) di sini hari ini.

Majils apresiasi tersebut diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) di mana turut berlangsung Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017).

Beliau berkata, Puteri UMNO akan menggiatkan lagi gerak kerjanya dalam memberi pendedahan dan maklumat mengenai pinjaman PTPTN terutama kepada golongan remaja lepasan sekolah.

“Kita juga banyak membantu pelajar lepasan universiti yang mempunyai kesukaran dalam membayar hutang mereka, kami bawa pelajar ini ke PTPTN bagi membuat penstrukturan semula pinjaman mereka,” katanya. – MO

SHARE