‘Hadiah’ saya untuk PM, kata Azwan Ali

 |Dec 6, 2017
Foto MO.

KUALA LUMPUR: Kemunculan pelakon Azwan Ali di Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) memberikan kejutan kepada perwakilan dan pengunjung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pelakon dan pengacara popular itu menjelaskan kehadirannya adalah sebagai ‘hadiah’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 14.

“Kehadiran saya dibuat atas dasar sebagai hadiah saya untuk Datuk Seri Najib menjelang PRU14.

“Saya mahu ingatkan Azmin jangan ingat saya berpura, jangan ingat saya dapat dedak, barua Umno dibayar juta-juta, tidak, Allah yang mengaturkan saya…,” katanya, merujuk kepada abang kandungnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Besar Selangor.

“Dah lama saya dendam dengan Azmin tapi dia lupa amanah arwah Haji Ali, kau ingat kau Menteri Besar kau hebatlah biar aku jatuhkan… menteri lain tak berani jatuhkan jadi aku jatuhkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kemunculan beliau dengan busana jubah berwarna merah bersama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menunjukkan kesungguhannya untuk mendedahkan ‘sesuatu yang besar’ berhubungkait dengan Mohamed Azmin, namun tidak dinyatakan apakah pendedahan itu.

Azwan mendakwa menyimpan dendam hampir lima tahun dengan Mohamed Azmin rentetan sikapnya yang dianggap tidak menghargai jasa adik-beradik.

Foto kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.

“Saya simpan selama lima tahun… Apa jenis abang kau menang besar, aku jual maruah aku sebagai artis, aku hilang pekerjaan, RTM hitamkan aku, sebab aku datang macam ini, berdiri dibelakang Azmin Ali sebelum ini,” katanya.

Azwan turut mencabar Mohamed Azmin untuk membuat sumpah laknat dan harus bersaksikan tujuh imam bagi membuktikan semua dakwaan terhadap dirinya tidak benar.

Sementara itu, Jamal ketika ditanya sejauh mana Azwan dapat membantu Barisan Nasional (BN), mendakwa ramai lagi rakyat akan keluar untuk menyokong BN susulan kegagalan Selangor dalam melaksanakan manifestonya.

“Kita memerlukan semua orang dalam negeri Selangor dan saya tahu apa yang berlaku mengenai dua manifesto selama dua penggal yang tidak ditunaikan dan sekarang satu demi satu rakyat akan bersama dengan kita sekaligus menyokong BN,” katanya. – MO

Azwan Ali cabar Azmin buat sumpah laknat

VIDEO: Azwan Ali cabar Azmin buat sumpah laknat#PAU2017 #AzwanAli #DivaAA #AzminAli Pengacara terkenal Azwan Ali hari ini membuat kemunculan mengejut di Perhimpunan Agung Umno 2017 bersama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.Adik kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berkata, dia menyimpan dendam hampir lima tahun dengan Azmin rentetan sikap abangnya yang dianggap tidak menghargai jasa adik-beradik.Baca lebih lanjut di sini: goo.gl/41hsMv

Posted by Malaysia Outlook on Wednesday, December 6, 2017

SHARE