Baiki hidup sebelum kecam kerajaan, kata Exco Puteri Umno kepada Fathia

 |Dec 6, 2017

KUALA LUMPUR: “Duduk diam-diam, betulkan lakonan dan hidup, jangan sibuk urusan kerajaan,” itu kata Exco Puteri Umno, Khaidhirah Abu Zahar dari Tangga Batu, Melaka yang menyelar pelakon, Fathia Latiff pada Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) di sini, hari ini.

Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira berkata demikian ketika ucapan yang mengingatkan ahli Puteri untuk tidak mempercayai dakyah seperti yang dibawa Fathia Latiff.

“Jika dia benar-benar mahu bercakap tentang perjuangan rakyat, turun padanglah seperti Puteri Umno. Tak perlu kalau dia hanya mahu menaip perkataan menggunakan telefon pintarnya,” katanya.

Ucapan pelakon dan pengarah itu mendapat sorakan ahli Puteri di dalam dewan yang nyata memberi sokongan terhadap kenyataannya.

Dira menasihatkan Fathia supaya ‘duduk diam’ dan menumpukan pada kerjaya lakonan dan kehidupannya.

Baru-baru ini, pelakon Fathia Latiff mempersoalkan mengapa baru hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Dalam satu ‘posting’ sebagai penghormatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, di Instagramnya baru-baru ini, Fathia berkata, sumbangan bekas perdana menteri itu kepada negara seolah semakin dilupakan.

Mahathir kemudiannya membalas dengan berterima kasih dan memuji Fathia kerana menyuarakan pandangannya.

“Saya kagum dengan keberanian @fatiyalatiff,” kata Mahathir itu di Twitter yang merujuk kepada pelakon berkenaan.

Sebelum ini, Fathia pernah menemuramah Mahathir menerusi program yang disiarkan secara penstriman langsung, Apa Kata Tokoh pada 16 Jun lalu. – MO