Jalan Pintas Rawang dibuka esok

 |Nov 28, 2017
Foto MO Azrol Ali.

RAWANG: Projek laluan baharu Jalan Pintas Rawang atau Rawang Bypass akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 6 pagi, Rabu ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Jalan Pintas Rawang – Serendah (Rawang Bypass) sepanjang 9 km itu tidak dikenakan sebarang bayaran tol susulan komitmen kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, pembukaan jalan ini dapat menyelesaikan rungutan rakyat terutamanya penduduk di sekitar Selayang, Rawang dan Hulu Selangor berkaitan isu kesesakan dan keselamatan yang mereka hadapi apabila melalui Bandar Rawang.

Jelasnya, pada waktu puncak, pengguna jalan raya dari Serendah menghala ke Selayang dan sebaliknya mengambil masa sehingga dua jam menempuh kesesakan lalu lintas melalui Jalan Persekutuan, namun dengan menggunakan laluan ini, pengguna hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi yang masa.

“Jalan Pintas Rawang adalah amat unik kerana mempunyai struktur jambatan tertinggi di Malaysia iaitu 58.2 meter dari aras tanah dan sekaligus memberikan pengalaman yang menarik kepada pengguna yang menggunakan laluan ini.

“Ini juga memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Gombak, Hulu Selangor dan Mualim (Tanjung Malim) sekaligus memberikan kesan positif kepada penjimatan masa bagi setiap kenderaan yang melalui Jalan Pintas Rawang,” katanya selepas merasmikan Jalan Pintas Rawang di sini, hari ini.

Fadillah berkata, kos pembinaan jalan berkenaan yang menelan belanja RM628 juta mula dibina pada 16 Julai 2005 dan siap sepenuhnya pada 21 November 2017 itu menggunakan teknologi pembinaan yang lestari alam supaya tidak menjejaskan flora dan fauna di dalam Taman Warisan Negeri Selangor.

Beliau menjelaskan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi dari sudut teknikal termasuk berhadapan dengan kriteria yang begitu ketat kerana melibatkan hutan simpan dan spesis yang harus dipelihara.

“Kami telah memilih struktur bertingkat bagi meminimumkan pemotongan cerun di kawasan rezab hutan selain pembinaan jambatan menggunakan Movable Scaffolding System (MSS) bagi mengelakkan penebangan hutan yang luas dan penggunaan jentera berat yang berlebihan,” katanya. – MO

SHARE