Pemuda Umno Pulau Pinang sifatkan Guan Eng biadap kenyataan tiada bantuan kerajaan pusat

 |Nov 15, 2017
Gambar fail kredit Facebook CM Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim menyelar kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa kerajaan Pusat tidak menghulurkan sebarang bantuan kepada Pulau Pinang bagi mengatasi masalah banjir, termasuk bantuan kepada mangsa bencana.

Beliau menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu melampau dan keterlaluan serta bersifat lupa diri.

Menurutnya, kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengira parti politik.

“Bagi saya kali ini Guan Eng sangat biadap dan lupa diri. Dia ibarat buaya… bila kita sudah hulurkan bantuan, kaki kita pula digigitnya.

“Mungkin Guan Eng sudah nyanyuk dan lupa bahawa bagi mengelakkan kejadian banjir besar berulang di Pulau Pinang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan 13 projek tebatan banjir yang dikenalpasti dan akan dilaksanakan di negeri ini malah Kerajaan Pusat telah meluluskan RM150 juta serta sanggup pertimbangkan untuk peruntukan tambahan mengikut kemampuan kewangan Kerajaan Pusat.

“Guan Eng juga mungkin sudah lupa jasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digerakkan oleh Kerajaan Pusat bagi membantu Pulau Pinang.

“… atau mungkin Guan Eng sudah sangat terdesak sehingga menganggap rakyat bodoh dan boleh diperkotak-katikkan dengan menyebarkan penipuan sebegitu rupa,” katanya yang dipetik dari Umno Online hari ini.

Awal November lalu, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Tujuh individu terkorban akibat bencana alam itu. – MO