Permaisuri Johor kecewa kurangnya kesedaran jenayah pedofilia di kalangan masyarakat

 |Nov 10, 2017
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah ketika menghadiri Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia Negeri Johor 2017 semalam. – Gambar kredit Facebook Zarith Sofiah Idris.

KUALA LUMPUR: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini melahirkan perasaan kecewanya dengan sifat pengikut atau followers di laman sosial Facebook.

Raja Zarith Sofiah menyatakan kerisauan kurangnya sikap ambil berat rakyat Malaysia tentang jenayah pedofilia.

Kesimpulan itu dibuat baginda susulan album gambar “Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia” yang dimuatnaik semalam hanya mendapat 48 like dan dua perkongsian berbanding status hal-hal peribadi baginda yang sangat pantas mendapat like dan share dikalangan rakyat Malaysia.

Gambar-gambar yang dimuat naik semalam menunjukkan Raja Zarith Sofiah menghadiri Majlis Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia Negeri Johor 2017 anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA, Johor Bahru.

“Jika status yang dimuat naik oleh saya adalah berkaitan seorang rakan keluarga atau sesi perjumpaan bersama-sama ahli keluarga diraja negara asing atau tokoh kalangan ternama, semua akan terus ‘like‘ dengan amat pantas. Jelas sekali tiada siapa yang ambil peduli tentang mereka yang mendera anak-anak kita,” tulis Raja Zarith Sofiah di laman Facebooknya, Zarith Sofiah Idris hari ini.

Baginda juga turut menyoal adakah rakyat Malaysia mahu menunggu kejadian jenayah tersebut berlaku baru tindakan akan diambil.

Selain itu, baginda juga turut meluahkah kerisauan tentang masa depan anak-anak yang didera secara seksual akan kelam jika seminar seperti itu tidak mendapat sambutan oleh rakyat Malaysia.

Raja Zarith berpendapat bahawa kebanyakan rayat Malaysia tidak kisah dengan apa yang ditanggung oleh mangsa pedofilia.

“Terima kasih, rakyat Malaysia, di atas ketidakperhatinan anda. Jelaslah apa yang ditanggung dan dialami oleh anak-anak ini tidak menarik minat atau perhatian kebanyakan orang.”

Baginda juga amat yakin jika selepas memuatnaik status tersebut, apa sahaja status hal peribadi baginda seperti santapan tengah hari akan menarik ramai pehatian rakyat Malaysia. – MO