Sidang Dun Pulau Pinang: Bantuan RM500 untuk setiap isi rumah ditimpa banjir

 |Nov 9, 2017
Gambar fail kredit Twitter @Muhdfayn.

GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini bertafakur selama satu minit bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini Ahad lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng meminta seluruh anggota DUN untuk sama-sama bertafakur ketika beliau membuat pengumuman khas antaranya bantuan RM500 untuk setiap isi rumah yang ditimpa banjir, sebelum sesi perbahasan bermula.

“Bantuan secara sekali gus itu dibuat menerusi program ‘Pulau Pinang Bangkit’ melibatkan peruntukan RM100 juta untuk membina semula kehidupan mangsa-mangsa banjir.

“Ia merupakan program pascabencana kerajaan negeri… tiga cabaran terbesar yang dihadapi ialah kerja pembersihan, kerja membaik pulih harta dan aset serta menggantikan apa yang tidak boleh dibaiki,” katanya.

Beliau berkata setiap keluarga atau perniagaan hanya boleh memohon sekali untuk kerugian hartanah mereka dan bayaran itu akan dibuat sebelum penghujung tahun.

 

Selain itu, Lim berkata bagi mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran surcaj konservasi air untuk pengguna domestik bagi tempoh bayaran satu pusingan (dua bulan).

“Diskaun air sebanyak 50 peratus juga akan diberi kepada pengguna domestik dan 25 peratus untuk pengguna komersial,” katanya.

Lim berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai juga akan memberikan diskaun cukai pintu sebanyak 10 peratus untuk semua hartanah selain gantian secara percuma dokumen-dokumen kerajaan negeri seperti geran tanah yang hilang atau rosak.

Beliau berkata Hari Sukarelawan Pulau Pinang Bangkit bagi memberi pertolongan kepada kawasan yang terjejas banjir akan diadakan pada 11 dan 12 Nov ini.

Dalam pada itu Lim turut merakamkan penghargaan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membelakangi perbezaan fahaman politik dan melawat Pulau Pinang serta mangsa-mangsa banjir.

Hujan lebat yang bermula pada 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad menyebabkan Pulau Pinang lumpuh akibat dilanda banjir yang turut mengorbankan tujuh nyawa. – Bernama