Bukan setakat manusia, anjing pun kami selamatkan, kata pengerusi surau

 |Nov 8, 2017

PETALING JAYA: Pengerusi Surau Sekolah Free School, George Town, Zakaria Malik memuji tindakan ahli jawatankuasa dan bilal surau yang menerima mangsa banjir bukan Islam untuk tumpang berteduh dan menganggap tindakan itu memenuhi tuntutan agama.

Menurutnya, pihak pengurusan surau bukan sahaja membantu manusia tetapi juga anjing yang turut diberikan tempat berteduh.

“Bukan setakat manusia tapi anjing pun kami selamatkan dan dibiarkan di perkarangan surau sehingga air surut kerana anjing pun ciptaan Allah SWT.

“Malah di waktu pagi semasa tiada bantuan yang datang kami menggunakan wang poket sendiri untuk membeli makanan untuk mangsa banjir dan orang- yang membantu,” tulisnya dalam status yang dimuat naik dalam Facebook.

Zakaria turut meluahkan rasa bangganya terhadap ahli jawatankuasa surau dan penduduk Taman Free School yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

“Saya amat berbangga mempunyai ahli jawatankuasa dan penduduk yang memberi bantuan di masa yang amat genting, bilal dan anak kariah yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa di waktu yang sangat genting, antara jam 3.00 pagi hingga 5.00 pagi, bergelut dengan air yang deras menggunakan bot tanpa enjin.

“Kalaulah di waktu itu ada orang ambil gambar, barulah orang yang beri komen negatif akan faham keadaan sebenar kenapa orang yang diselamatkan ditempatkan di surau.

“Ada yang terpaksa membuka baju disebabkan kesejukan melampau. Pakaian di dalam surau pun hanyalah telekung, kain pelikat dan kain ihram.

“Jadi dalam bergelut dengan keadaan air yang deras kami lakukan apa yang terdaya dengan niat manusia itu semua sama ciptaan Allah.

“Mana tahu Allah bagi hidayah pada orang yang dibantu,” katanya.

Zakaria turut berterima kasih kepada jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam usaha menyelamat.

“Terima kasih juga kepada semua pihak dan jabatan yang datang memberi bantuan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tentera yang sehingga hari ini memberi bantuan pembersihan dan juga memberi bantuan peralatan dan makanan kepada penduduk yang terjejas.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Exco Jagdeep Singh Deo atas kehadiran ke tempat kami,” katanya.

Terdahulu, gambar mangsa banjir bukan Islam yang berlindung di dalam sebuah surau menjadi tular di laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi.

Gambar itu menunjukkan seorang lelaki yang tidak berbaju kesejukan, seorang wanita berseluar pendek paras lutut, manakala yang lain sedang duduk atau berbaring menghilangkan kepenatan mereka.

Walaupun rata-rata memuji tindakan pihak surau, ada juga yang mengecam kerana merasakan surau yang menjadi tempat ibadah orang Islam tidak boleh dimasuki golongan bukan Islam.