Teknik penipuan guna nama mahkamah dikesan

 |Nov 7, 2017
Gambar fail kredit Wikipedia.

PETALING JAYA: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mendedahkan terdapat sindiket menggunakan nama dan logo institusi berkenaan untuk menipu orang ramai.

Dalam satu kenyataan, PKPMP berjaya mengesan beberapa cubaan untuk menipu orang ramai oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan membuat panggilan telefon atau menghantar e-mel secara rambang dengan mendakwa mewakili mana-mana pihak mahkamah.

Menerusi kaedah panggilan telefon, sindiket berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah kononnya mangsa mempunyai notis saman dan diminat untuk hadir ke mahkamah pada hari cuti atau hari minggu.

“Pihak sindiket menghubungi mangsa dan mendakwa mereka daripada mahkamah yang mahu mengesahkan identiti pekerja yang bekerja di syarikat mangsa seperti nama penuh, jawatan, nombor kad pengenalan, alamat dan lain-lain.

“Mangsa menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa mangsa telah disepina dan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi mengelakkan tangkapan dibuat. Mangsa juga didakwa mempunyai hutang dan bagi menyelesaikan hutang tersebut, mangsa perlumembayar sejumlah wang kepada pihak sindiket,” katanya.

Menurutnya, beberapa kaedah yang digunakan sindiket menggunakan kiriman emel iaitu mendakwa mangsa merupakan waris sah bagi mewarisi harta yang bernilai jutaan ringgit dan meminta mangsa memasukkan sejumlah yuran ke dalam akaun pihak bank sindiket supaya perwarisan harta dapat diproses dengan segera.

“Sindiket menghantar emel beserta sijil perakuan yang mengatakan mangsa merupakan waris yang sah bagi sejumlah harta tertentu serta memberi emel pengesahan untuk mangsa menyemak kesahihan sijil tersebut.

“Sindiket menghantar emel mewakili Mahkamah mengatakan bahawa mangsa perlu membayar sejumlah wang bagi Mahkamah mengeluarkan Surat Kuasa Wakil bagi pengurusan harta pusaka,” katanya.

PKPMP menasihatkan orang ramai untuk menyemak nombor telefon atau saman yang didakwa sindiket dengan pihak mahkamah terlebih dahulu sebelum melalui langkah seterusnya.

Menurutnya, adalah diingatkan bahawa sebarang sepina hanya akan diserahkan secara kediri (personal service) atau by hand dan pihak berkenaan dikehendaki menandatangani penerimaan sepina tersebut.

Katanya, penyerahan sepina hanya boleh dilakukan oleh pihak polis bagi perkara berkaitan jenayah dan pihak firma guaman bagi perkara selain jenayah.

“Pejabat ingin menegaskan bahawa pihak mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya membuat panggilan telefon secara rambang kepada orang awam.

“Pejabat memandang serius mengenai perkara ini dan ingin menasihatkan orang awam agar berhati-hati supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya menerima panggilan daripada nombor yang diragui. – MO