Pandu Puteri bantu mangsa banjir di Pulau Pinang

 |Nov 7, 2017
Datin Seri Rosmah Mansor di Pulau Pinang hari ini melawat mangsa banjir bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

PETALING JAYA: Persatuan Pandu Puteri Malaysia melaksanakan misi bantuan pascabanjir dengan menyalurkan bantuan wang tunai dan pelbagai barangan keperluan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

Pesuruhjayanya, Normala Baharudin yang kini berada di Pulau Pinang bersama Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sebanyak RM50,000 disumbangkan kepada Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Normala berkata, keprihatinan Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap rakyat tidak berbelah bahagi dan sentiasa memberi sokongan kuat kepada Pandu Puteri untuk terus melaksanakan misi dan visi yang telah ditetapkan dalam persatuan berkenaan.

Menurut Normala mengenai bantuan banjir, sumbangan daripada orang ramai dan 18 cawangan Pandu Puteri sedang dikumpulkan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di utara tanah air pada hujung minggu ini.

“Kita sedang mengumpulkan barangan keperluan yang disumbangkan orang ramai termasuk sumbangan wang ringgit sebelum diagihkan mengikut kesesuaian mangsa banjir.

“Kami akan bekerjasama dengan ahli Pandu Puteri di Kedah dan Pulau Pinang bagi mengenal pasti mangsa banjir supaya sumbangan dapat diagihkan secara berkesan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Gambar ihsan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Menurutnya, Wisma Pandu Puteri di Pulau PInang juga turut terjejas dalam kejadian banjir berkenaan.

Normala berkata, bagi membawakan keceriaan kepada kanak-kanak mangsa banjir, sumbangan menerusi projek yang dinamakan ‘Shoe Box Project’ diteruskan.

Inisiatif yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu dapat membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan apabila menerima ‘kotak ajaib’ yang mengandungi barangan seperti pensil, buku mewarna, barangan penjagaan diri dan permainan.

Menurutnya, kerjasama daripada ahli Pandu Puteri tidak berbelah bahagi dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Mereka sendiri yang datang menghulurkan bantuan dan menyediakan shoe box ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Ini lebih kepada pembelajaran dan bantuan kepada semua ahli menghadapi situasi seperti ini,” katanya.

Gambar ihsan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Turut hadir ketika lawatan hari ini ialah Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri cawangan negeri Kedah┬áTunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Pandu Puteri, Noor Hajran Mohd Noor berkata, sikap bantu membantu sudah menjadi nilai-nilai teras dalam ahli Pandu Puteri.

Menurutnya, empat kategori dalam pandu puteri iaitu Puteri Tunas, Puteri Remaja, Puteri Renjer dan Puteri Dewasa sudah dipupuk dengan sifat murni untuk membantu mereka yang memerlukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

“Ini adalah bagus untuk Pandu Puteri dengan melakukan kerja sukarela terutamanya membabitkan ahli yang masih muda untuk turut sama membantu,” katanya. – MO