Najib dan Rosmah tiba di Pulau Pinang lawat mangsa banjir

 |Nov 7, 2017
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meninjau keadaan dan kawasan yang dilanda banjir di Pulau Pinang yang disifatkan sebaga terburuk dalam sejarah negeri tersebut.

Beliau tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, di sini, kira-kira jam 10.40 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lawatan beliau disambut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; beberapa menteri dan barisan exco kerajaan negeri.

Beliau hadir ke sini bagi mendengar sesi taklimat mengenai bencana banjir yang berlaku di Pulau Pinang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

Najib juga dijadualkan akan melawat seramai 320 orang mangsa banjir yang ditempatkan di sini sejak beberapa hari lalu sejurus selepas mendengar taklimat tersebut.

Beliau kemudiannya akan meneruskan sesi lawatan mangsa-mangsa banjir di Tanjung Putus, Permatang Pauh dan Sekolah Kebangsaan Sungai Dua.

Hampir keseluruhan Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, banjir di Pulau Pinang meragut tujuh nyawa. – MO

Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.