Mangsa banjir berlindung di surau, tindakan bilal dipuji

 |Nov 7, 2017

PETALING JAYA: Seorang bilal di sebuah surau di Georgetown dipuji netizen apabila tindakannya membenarkan sekumpulan mangsa banjir berlindung di surau berkenaan menjadi viral di media sosial.

Sapno Tukijo, 50, berkata, nyawa manusia walau pun berbeza agama lebih penting baginya daripada kecaman masyarakat.

Dia berkata demikian selepas gambar menunjukkan sekumpulan mangsa banjir, antaranya berbaring, berseluar pendek atau tidak berbaju, berlindung di surau itu tular di media sosial, selepas Pulau Pinang dinaiki air setinggi 1m pada hujung minggu.

“Atas dasar kemanusiaan dan mahu menyelamatkan nyawa, saya tidak kisah apa orang nak kata,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut Sapno, seramai 70 orang mangsa banjir,  dari perkampungan sekitar Lengkuk P Ramlee berlindung di surau itu.

Sapno menjelaskan mangsa banjir itu pada mulanya mahu berlindung di sebuah tokong berhampiran namun gagal kerana air sudah mencecah paras dada dengan arus yang deras.

Beliau kemudiannya mengajak mangsa-mangsa terbabit ke surau walaupun pada awalnya mereka segan untuk masuk ke surau berkenaan.

“Tokong terbabit terletak hanya beberapa meter di seberang jalan dan saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di kedua-dua tiang elektrik.

“Bagaimanapun usaha itu gagal kerana air deras dan naik mendadak hingga paras dada dan saya sendiri mempelawa mereka menumpang di surau.

“Mereka akhirnya akur dan menumpang di surau ini malah ada yang tidak berbaju kerana keluar sehelai sepinggang ketika itu,” katanya. – MO

SHARE