Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang meningkat tengah hari

 |Nov 7, 2017
Gambar fail Penang Online Facebook.

GEORGE TOWN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 7,294 orang daripada 1,774 keluarga tengah hari ini berbanding 6,080 mangsa membabitkan 1,572 keluarga pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, kesemua mereka ditempatkan 50 pusat pemindahan yang terdapat di empat daerah di negeri itu.

“Sejumlah 4,032 mangsa banjir ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan 3,163 orang di 26 pusat pemindahan di Seberang Perai Tengah (SPT).

“Bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) setakat tengah hari ini, terdapat enam mangsa dan 21 orang di daerah Timur Laut masing-masing hanya tinggal satu pusat pemindahan,” katanya di sini hari ini.

Beberapa jalan di SPU yang ditutup pada pagi tadi masih belum dibuka kepada lalu lintas. Antara jalan terlibat ialah Jalan Lahar Yooi-Sungai Dua, Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Pokok Tampang dan Jalan Padang Tonsun.

 

Jurucakap itu berkata beberapa kawasan yang dilanda banjir di SPS telah mula surut dan penduduk mula kembali ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman mereka.

Cuaca di Pulau Pinang tengah hari ini adalah cerah.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa. – Bernama

SHARE