Viral Tun Mahathir peluk ‘anggota UTK’ gambar lama

 |Nov 6, 2017

KUALA LUMPUR: Minggu lalu, viral gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpelukan dengan dua orang lelaki yang dikatakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) merangkap pengiringnya.

Gambar tersebut walaupun tidak dikongsi oleh laman Facebook rasmi Dr Mahathir, telah dikongsi pelbagai laman Facebook lain, antaranya Che Det Supporters.

Di Facebook Che Det Supporters, gambar yang dimuatnaik pada 3 November 2017, disertakan dengan tulisan yang mengatakan pelukan tersebut merupakan pelukan perpisahan anggota UTK yang selama ini bertugas mengiringi Dr Mahathir setelah kerajaan Malaysia menarik balik kemudahan pasukan pengiring kepada beliau.

Namun, gambar tersebut merupakan gambar lama dan carian di Facebook mendapati gambar yang sama telah dimuat naik laman Facebook Mukhriz Mahathir Fans pada 10 Mei 2016 dengan kapsyen, “Tun Dr Mahathir peluk Hero2 Deklarasi Rakyat”.

Walaupun gambar tersebut tidak dikongsikan oleh laman Facebook rasmi Dr Mahathir, netizen diharap lebih berhati-hati apabila berkongsi sesuatu gambar lama yang dikaitkan dengan isu baru.

Perkongsian gambar ini adalah susulan dari Dr Mahathir memberitahu pada 1 November baru-baru ini bahawa khidmat pengiring UTK untuknya ditarik balik.

Namun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyangkal dakwaan tersebut.

Katanya kepada Bernama semalam, khidmat UTK masih dikekalkan bagi bekas Perdana Menteri tersebut. – MO