TPM tinjau banjir di Pulau Pinang

 |Nov 6, 2017
Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Pulau Pinang berpelukan setibanya Ahmad Zahid Hamidi di negeri itu untuk meninjau keadaan banjir. – Foto kredit Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi FC.

BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meninjau keadaan dan dan kawasan yang dilanda banjir di Pulau Pinang yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah.

Beliau tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada 10.20 pagi dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Lim dilihat memeluk Ahmad Zahid, sejurus Timbalan Perdana Menteri turun dari helikopter.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara kemudian melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Guar Perahu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang menempatkan seramai 365 mangsa banjir.

Beliau berkesempatan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di situ sambil bertanyakan sama ada kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan mencukupi.

 

Timbalan perdana menteri berkata bencana banjir tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan isu politik dan disebabkan itu, kerajaan Persekutuan tetap menghulurkan segala bantuan terhadap mana-mana negeri tanpa melihat perbezaan politik.

“Bila banjir berlaku paling penting kena reda dan kesiapsiagaan itu kena kita terjemahkan,” kata Ahmad Zahid, yang kemudiannya menyampaikan sumbangan bantuan bencana kepada kira-kira 450 mangsa banjir daerah Kulim.

Sementara itu, ketika mendengar taklimat berhubung keadaan banjir yang berlaku di sekitar daerah ini yang disampaikan Pegawai Daerah Kulim Mohamad Che Nai hari ini, beliau mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta bagi kerja menaik taraf sistem saliran dan perparitan yang rosak akibat banjir di sekitar daerah Kulim.

Sesi taklimat itu susulan lawatan Ahmad Zahid ke kawasan terowong air bawah tanah yang pecah hingga meruntuhkan sebahagian jalan berdekatan rumah penduduk di sekitar Jalan Selasih 5 di Taman Selasih di sini akibat hujan lebat Sabtu lepas.

Semasa menyampaikan taklimat itu, Mohamad berkata RM1.5 juta diperlukan untuk kerja membaik pulih terowong air bawah tanah dan parit yang rosak akibat banjir di Taman Angsana hingga sekitar kawasan kolam Taman Semarak sepanjang 2 kilometer di sini.

Kata Mohamad, sebanyak RM500,000 lagi diperlukan untuk melaksanakan kajian fizikal berhubung terowong berkenaan.

Setakat pukul 3 petang ini, sejumlah 2,614 mangsa banjir ditempatkan di lebih 20 pusat pemindahan banjir di Kedah, membabitkan 748 buah keluarga dari daerah Yan, Kuala Muda dan Kulim. – Bernama