Rakan Puteri bantu tepis fitnah media sosial

 |Nov 6, 2017
Foto fail kredit Facebook Haryaty Hamdzah.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno ‘melahirkan’ Rakan Puteri yang berperanan mengatur strategi untuk menepis propaganda, penipuan dan fitnah dalam media sosial.

Ketua Penerangan Puteri Umno, Haryaty Hamdzah berkata, antara tanggungjawab Rakan Puteri untuk memastikan pemikiran generasi muda bersih dan mendapat maklumat yang tepat.

“Mereka ini akan menularkan maklumat yang benar dan menangkis sebarang tohmahan yang tidak benar kepada rakyat.

“Sekurang-kurangnya golongan muda ini tidak hanya menerima maklumat daripada pembangkang tetapi kita menyalurkan maklumat yang sahih terutamanya daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Jelasnya, Rakan Puteri akan mengemukakan bukti dan fakta supaya rakyat terutamanya generasi muda yang sudah sinonim dengan media sosial tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang direka pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pasukan khas berkenaan bukan sahaja terdiri daripada ahli Puteri Umno tetapi juga wanita muda yang berminat untuk membantu parti bagi terus menyalurkan maklumat yang benar di laman sosial.

Haryaty menegaskan pendekatan Puteri tidak hanya tertumpu di laman sosial tetapi juga secara realiti iaitu mendekati rakyat di peringkat akar umbi dengan pelbagai pengisian program.

“Kami tidak menolak pendekatan media sosial tetapi pendekatan akar umbi juga penting bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Ini kerana permasalah rakyat tidak boleh diselesaikan di media sosial kerana memerlukan sentuhan pemimpin dan wakil rakyat untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Unit Khas Pilihan Raya Puteri Umno Malaysia (UKP) berkata, pelbagai program dirangka dan dijalankan bagi mendekati rakyat selain bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 nanti.

“Kami kini juga memberikan tumpuan untuk memastikan 50,000 ahli Puteri untuk berdaftar sebagai pengundi.

“Ini kerana ada antara mereka yang menganggap apabila menjadi ahli Puteri, mereka secara automatik sudah mendaftar untuk mengundi dan ada di antara mereka yang berpindah tempat tingal dan kerja serta perkara lain,” katanya.

Minggu lalu di Kota Bharu, Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin perkata pelbagai isu dimainkan pembangkang walaupun perkara itu tidak benar.

“Justeru, seramai 400,000 ahli Puteri Umno di seluruh negara perlu membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menepis segala tohmahan berkenaan. Kita tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya setiap isu dimainkan perlu ditepis secepat mungkin menggunakan laman sosial termasuk Facebook dan Instagram. Selain itu, Puteri Umno perlu sentiasa memuat naik program dilaksanakan parti bagi membolehkan rakyat mengetahui apa yang dilakukan BN,” beliau dipetik berkata oleh Berita Harian Jumaat lepas. – MO