‘Pemimpin DAP’ dimarahi mangsa banjir

 |Nov 6, 2017

KUALA LUMPUR: Kejadian banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Pulau Pinang telah mencetuskan kemarahan penduduk sehingga beberapa orang mangsa banjir dikatakan memarahi seorang wakil rakyat dan video tersebut menjadi tular di media sosial.

Lelaki yang tidak dikenali itu mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak menghulurkan bantuan awal sewajarnya kepada penduduk yang terjejas teruk akibat kejadian berkenaan.

Video yang memaparkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin DAP dipercayai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Dalam video berdurasi dua minit 12 saat itu, penduduk berkenaan meluahkan kekecewaannya selepas pemimpin serta kerajaan negeri DAP Pulau Pinang didakwa tidak mengambil berat terhadap rakyat berikutan musibah banjir di negeri itu.

Penduduk berkenaan menzahirkan rasa kecewa apabila bantuan serta bekalan makanan tidak disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir dan mereka seolah-olah dibiarkan begitu sahaja.

“Anda hanya datang ke sebuah rumah dan ‘buang’ makanan, anda ingat kami terdesak.

“Kamu pergi dan lihat rumah mereka. Di mana mereka mahu tidur malam ini? Di mana mereka mahu ambil tilam?

“Fikirlah fikirlah untuk rakyat, jangan hanya datang melawat lepas itu balik. Semua yang berlaku ini berpunca daripada kamu semua, jangan kata ini takdir Tuhan.

“Tuhan beri kita otak untuk berfikir. Jangan potong bukit ini, jangan potongla,” lelaki itu kelihatan berkata di dalam video tersebut.

Lelaki berkenaan turut mendakwa pemimpin kini hanya pandai berkata namun tidak bertindak untuk rakyat.

Sepanjang tempoh video itu, lelaki yang dimarahi itu dilihat hanya berdiam diri seolah-oleh tidak dapat menjawab segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya.

Sementara itu, Ram Karpal menerusi akaun Facebook memuat naik gambar sekitar lawatannya ke rumah mangsa banjir di kawasan Thean Teik, Kg Sheikh Madar, Kg Sheikh Eusoff, Farlim, Paya Terubong, Air Itam dan beberapa kawasan lain yang terjejas.

“Kami juga sedang berusaha untuk memberi bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir dan berdoa agar bencana sebegini tidak berlaku lagi,” tulisnya.

Hujan berterusan sejak Sabtu lalu melumpuhkan Pulau Pinang susulan banyak jalan ditutup dan ratusan kediaman dinaiki air.

Keadaan tersebut turut menjejaskan sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai, selain menyebabkan hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa. – MO

SHARE