Masih ada sinar harapan bagi golongan gelandangan yang ada kemahuan

 |Nov 6, 2017
Che Faisal Che Baharom dan Allaudin Pawan Chik. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: ‘Putus asa dengan ikhtiar hidup’. Itu yang sering digambarkan terhadap golongan gelandangan yang memilih untuk tinggal di kaki lima bangunan pencakar langit di ibu negara.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat, ada golongan gelandangan ini berusaha untuk mengubah kehidupan mereka untuk menjadi lebih baik dengan bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan peluang pekerjaan.

Allaudin Pawan Chik, 41, memilih hidup sebagai gelandangan selepas gagal mendapatkan pekerjaan tetap selain sering ditipu majikan.

“Saya pernah bekerja di Johor sebelum mengenali seorang agen yang menawarkan pekerjaan sebagai tukang cuci di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura dengan gaji SGD800 selama tiga tahun.

“Disebabkan tekanan kerja dengan gaji yang tidak berpatutan, saya mengambil keputusan berhenti kerja pada 2011 dan bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang berkata, seawal usia 14 tahun lagi dia sudah bekerja untuk mendapatkan wang sendiri namun tiada satu pun pekerjaan yang kekal dengannya.

Menurutnya, pengalaman bergelar gelandangan di ibu negara sememangnya sukar sehinggakan dia terpaksa menjual barang seperti baju atau kasut yang diberikan NGO di pasar karat untuk mendapatkan duit.

Kini, Allaudin bersyukur apabila ada pihak NGO yang menawarkan pekerjaan di Pulau Pinang dan sekaligus dapat mengubah kehidupannya.

“Saya menyesal dengan kehidupan yang disia-siakan sebelum ini terutamanya apabila bekerja di Singapura kerana pada waktu itu duit sangat banyak dalam poket tetapi kini RM1 pun susah nak dapat.

“Saya mahu mengubah kehidupan kepada lebih baik dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” kata anak keenam daripada sembilan adik beradik ini.

Kisah Che Faisal Che Baharom, 34, tidak kurang pengajarannya apabila suatu ketika dahulu dia pernah ditawarkan untuk menjadi pengurus di sebuah restoran makanan segera di Cheras.

Dia yang merasakan kurang mahir berbahasa Inggeris terpaksa menolak tawaran tersebut dan pulang ke kampung halamannya di Kuantan, Pahang.

“Saya terlibat dengan najis dadah apabila bertemu dengan rakan-rakan di kampung tetapi cepat tersedar dan menyerah diri kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalani pemulihan.

“Saya tekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan selepas kontrak bekerja sebagai pemandu lori kelapa sawit di kampung tamat.

Di Kuala Lumpur, Faisal bekerja membawa trak makanan dan tidur di kaki lima sekitar Bangkok Bank dan Masjid Jamek serta terpaksa berhenti kerja kerana tiada pakaian yang sesuai untuk bekerja.

Dugaan menimpa anak bongsu daripada empat adik beradik ini apabila ditipu majikan ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana diberikan hanya RM20 untuk lima hari bekerja dan tidak membayar gaji selebihnya.

Kini, Faisal diberi peluang untuk mengubah kehidupannya apabila ditawarkan bekerja di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

“Saya mahu mengubah kehidupan dan tidak mahu menjadi gelandangan lagi,” katanya yang berharap orang ramai tidak memandang serong dan terus memberi sokongan kepada golongan gelandangan ini untuk berubah. – MO

SHARE