Jadikan kepelbagaian kaum kunci kejayaan negara, kata Gerakan

 |Nov 4, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menggesa semua pihak untuk menjadikan kepelbagaian kaum di dalam negara ini sebagai kunci kepada kejayaan sebuah negara.

Menurutnya, semua pihak termasuk parti politik harus menjadikan  kepelbagaian kaum yang ada dalam negara sebagai kekuatan untuk menjadikan negara lebih maju

“Kepelbagaian kaum yang ada dalam negara ini tidak seharusnya dijadikan halangan tetapi kekuatan untuk negara terus maju.

“Semua dalam negara ini perlu ada hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan budaya.

“Ini menjadikan semua orang dapat bergerak ke depan apabila adanya toleransi ini dan tidak melakukan tindakan yang melampaui batas,” katanya selepas merasmikan Sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) yang diadakan di Dewan Cempaka di Menara PGRM di sini, hari ini.

Beliau turut menjadikan negara Belgium sebagai contoh yang mempunyai tiga bahasa kebangsaan dan kepelbagaian dalam negara mereka berjaya membawa negara mereka maju.

Menurutnya, ianya sama dengan negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan itu sebagai kekuatan untuk bergerak maju ke hadapan.

Dalam sesi yang dihadiri kira-kira 600 orang itu membincangkan mengenai aspirasi, cadangan dan harapan golongan belia bagi membantu hala tuju negara mencapai TN50. – MO

SHARE