Kejayaan Permata Kurnia buka mata rakyat

 |Nov 3, 2017
Dr Sazlina Kamaralzaman. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Program Permata Kurnia iaitu program intervensi awal yang komprehensif untuk memenuhi keperluan kanak-kanak penghidap autisme dan keluarga, kini sudah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan selepas dua tahun beroperasi.

Sehingga kini sebanyak lima anugerah yang diterima sejak tahun lalu dan terbaru menerima pengiktirafan tempat pertama kategori produk harapan bagi iKurnia: Pendidikan Digital Autisme Untuk Komuniti di Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2016 dan tempat ketiga anugerah inovasi penyampaian perkhidmatan (kategori penciptaan) bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Perdana Menteri 2017.

Ketua Program 1, Dr Sazlina Kamaralzaman berkata kejayaan yang dinikmati adalah hasil usaha tenaga pengajar dan kakitangan Permata Kurnia yang mencetuskan idea iKurnia bagi mendidik ibu bapa dalam menangani kanak-kanak autisme secara pembelajaran digital.

“Saya bersyukur dan bangga dengan kejayaan ini kerana akhirnya hasil kerja mereka diiktiraf sekaligus dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus berjaya pada masa depan untuk Permata Kurnia.

“Kami sendiri tidak menyangka kejayaan ini dan apabila kemenangan berpihak pada kita, ini sekaligus dapat membuka mata masyarakat menggunakan iKurnia untuk mengenali penyakit autisme dan cara untuk mengawal anak-anak autisme ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Permata Kurnia di sini, hari ini.

Pusat Permata Kurnia, di bawah Permata Negara merupakan projek hasil ilham isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah juga merupakan penaung bagi Program Permata Negara.

Dr Sazlina berkata, keprihatinan dan sokongan Rosmah dalam Permata Kurnia tidak dapat dinafikan apabila beliau sentiasa terbuka dalam memberi pendapat dan mengambil berat mengenai cara untuk mengurangkan bebanan ibu bapa.

“Beliau mempunyai minat untuk membantu ibu bapa ini dan kami yang berada di bawah beliau sering berjaya menghadapi sebarang isu yang dialami.

“Beliau tidak lokek untuk memberi nasihat, cadangan dan bimbingan supaya kami dapat memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Bagi menunjukkan sokongan, program iKurnia akan disertakan dalam laman web Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) supaya dapat didedahkan kepada orang ramai mengenai pendidikan terhadap kanak-kanak autisme. – MO

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai iKurnia, di bawah Pusat Permata Kurnia, sila klik di sini.