iKurnia bimbing ibu bapa didik anak autisme

 |Nov 3, 2017
Dr Sazlina Kamaralzaman. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pendidikan digital autisme untuk komuniti yang diperkenalkan Pusat Permata Kurnia pada April 2016 menerima sambutan baik daripada ibu bapa terutamanya di luar kawasan Lembah Klang.

Kursus secara dalam talian ini diperkenalkan berikutan ramai ibu bapa ingin menghantar anak mereka ke pusat berkenaan tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan faktor jarak dan masa.

Ketua Program 1, Dr Sazlina Kamaralzaman berkata, kursus iKurnia yang diakses menerusi laman web Permata Kurnia dan laman Youtube dapat membantu ibu bapa mendidik anak-anak mereka yang menghidap autisme terutama di peringkat kanak-kanak dan prasekolah.

“Ini cara kami membantu ibu bapa yang luar daripada Kuala Lumpur terutamanya Sabah dan Sarawak untuk mengetahui cara dan langkah sesuai untuk mendidik anak-anak autisme ini.

“Kami menyediakan perkhidmatan itervensi awal dan pra sekolah kepada kanak-kanak ini selain menawarkan pendidikan dan latihan kepada ibu bapa, ahli profesional serta komuniti mengenai autisme,” katanya ketika ditemui di Pusat Permata Kurnia di sini, hari ini.

Pusat Permata Kurnia adalah terletak di bawah payung Permata Negara, sebuah projek yang diilhamkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di mana beliau juga berperanan sebagai penaung Permata Negara.

Mengulas lebih lanjut mengenai iKurnia, Dr Sazlina berkata, terdapat tiga modul pendidikan digital yang disediakan iaitu iKurnia asas autisme, iKurnia asas intevensi dan iKurnia live.

Menurutnya, iKurnia asas austime lebih menekankan kepada mengenali ciri-ciri autisme, memahami langkah mengenal pasti austime dan mengenal pasti keperluan intervensi awal kanak-kanak ini.

Jelasnya, iKurnia asas intervensi ini akan menerangkan kepentingan menjalankan intervensi kepada kanak-kanak ini dan mengikut keperluan kanak-kanak yang mengalami austime.

“Setiap hujung minggu pada setiap bulan kami mengadakan seminar melalui live streaming di laman Youtube dan di sini kami bersama tenaga pengajar akan berkongsi cara mendidik anak-anak autisme seperti mana yang diajar di Pusat Permata Kurnia.

“Ini memberi peluang kepada ibu bapa yang tidak dapat menghantar mereka ke sini menimba ilmu daripada tenaga pengajar secara dalam talian dan mereka ini boleh mengajukan soalan dan dijawab serta merta,” katanya, menambah bahawa sehingga kini tontonan kepada video tersebut meningkat kepada 15,000 tontonan pada setiap kali video itu dihasilkan.

Kejayaan iKurnia turut menerima pengiktirafan apabila Pusat Permata Kurnia mendapat tempat pertama kategori produk harapan bagi iKurnia: Pendidikan Digital Autisme Untuk Komuniti di Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2016.

Baru-baru ini, Pusat Permata Kurnia mendapat tempat ketiga anugerah inovasi penyampaian perkhidmatan (kategori penciptaan) bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Perdana Menteri 2017.

Bercakap mengenai program terbaru, Dr Sazlina berkata pada 12 November ini akan diadakan ceramah dengan ibu bapa di mana mereka akan berkongsi pengalaman mereka mengajar anak-anak austime di rumah.

Katanya, ceramah yang diadakan pada jam 9 hingga 12 tengah hari itu mendapat sambutan apabila setiap kali diadakan dengan lebih 15, 000 tontonan daripada orang ramai di laman Youtube menerusi saluran Permata Kurnia.

“Sekurang-kurangnya ibu bapa yang mengikuti ceramah ini dapat mempelajari sesuatu kerana ada di antara mereka ini tidak tahu langkah yang patut diambil sekiranya anak mereka menghidap autisme.

“Apabila tiada pengetahuan, akan terjadi situasi tidak terkawal sehingga ibu bapa ini bertindak mengurung dan mengikat anak mereka.

“Mereka ini perlu dilatih dari awal supaya tidak berlaku situasi yang tidak terkawal,” katanya. – MO