Camilla lawat Pusat Permata Negara

 |Nov 3, 2017
Datin Seri Rosmah Mansor bersama Camilla di Pusat Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata Negara di Putrajaya hari ini. – Foto kredit Twitter @UKinMalaysia.

PUTRAJAYA: Camilla, Duchess of Cornwall, melawat Pusat Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata Negara di sini hari ini.

Ketibaan beliau disambut isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung program Permata.

Camilla diberi taklimat mengenai operasi pusat itu, yang mempunyai 60 kanak-kanak berumur di antara satu hingga lima tahun oleh pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kurukulum dan Penyelidikan Permata Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Aminah Ayob.

Beliau kelihatan berseri-seri dengan pakaian panjang Tiffany yang dipasangkan dengan seluar putih, juga memerhatikan aktiviti kanak-kanak dan duduk berbual dengan mereka.

Camilla tidak pernah lekang dengan senyuman apabila menyaksikan gelagat kanak-kanak yang mempersembahkan seni silat dan tarian tradisional Melayu, yang kebiasaaannya dipersembahkan pada majlis perkahwinan.

Aminah ketika ditemui selepas lawatan Camilla, berkata Duchess of Cornwall tertarik dengan sikap baik kanak-kanak berkenaan.

“Beliau kagum kerana kanak-kanak itu sangat berdisiplin dan mengambil bahagian dalam aktiviti itu, dan mereka boleh duduk tanpa berlari ke sana sini,” katanya kepada Bernama.

Aminah berkata Camilla juga bertanya mengenai kurikulum dan aktiviti bagi kanak-kanak di pusat itu.

Putera Charles yang merupakan Prince of Wales, dan Camilla tiba di sini semalam pada kunjungan pertama mereka ke Malaysia, bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala di antara Malaysia dan United Kingdom.

Lawatan pasangan diraja itu merupakan sebahagian daripada lawatan mereka ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Okt sehingga 9 Nov, bagi memperkukuhkan lagi hubungan di antara Britain dan Asia. – Bernama